Berapa ramai orang yang berebut-rebut untuk mendapatkan kehidupan yang baik didunia sehingga mereka lupa untuk membuat persiapan untuk kematian mereka.
Allah Ta’ala, berfirman:
وَمَا هٰذِهِ الْحَيٰوةُ الدُّنْيَآ إِلَّا لَهْوٌ وَلَعِبٌ ۚ وَإِنَّ الدَّارَ الْأَاخِرَةَ لَهِىَ الْحَيَوَانُ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
“Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui.” – (Surah Al-‘Ankabut 29: Ayat 64)
Kesibukan dunia sering membuatkan kita leka dan terlupa. Seolah-olah banyak tugasan yang perlu diselesaikan. Sehingga kita merasakan apa yang kita lakukan didunia ini kekal selamanya. Kadang-kadang, kita kejar urusan didunia seolah olah kita akan hidup didunia selama- lamanya. Namun kita sepatutnya bersiap untuk kehidupan di akhirat seolah-olah kita akan mati esok supaya apabila tiba-tiba ajal dijemput, kita tidak termasuk orang yang meninggal hanya mengejar dunia. Namun, mempunyai simpanan amal jariah untuk akhirat.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman. Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang disediakan (dari amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” – (Surah al-Hashr, ayat 18)
Rasulullah SAW bersabda:
“Orang yang paling cerdik dalam kalangan kamu bukanlah yang memiliki rumah besar, berjawatan tinggi, mempunyai rupa paras indah, tetapi orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk saat selepas kematian nanti.”
Kebahagiaan di akhirat tidak mungkin dapat dinikmati tanpa melakukan amalan baik ketika di dunia. Ini termasuk menafkahkan harta di jalan Allah SWT, bersedekah, berinfak serta melaksanakan ibadat wajib.
Mengenai amalan bersedekah dan berinfak khususnya, ketika menghadapi sakaratul maut, manusia akan merayu kepada Allah SWT supaya ditangguhkan kematiannya semata-mata untuk berbuat demikian. Apa yang pasti, segala harta dunia yang kita miliki ini belum tentu menjadi milik kita. Bagaimanapun, setiap sen atau harta diinfakkan itu pasti akan menjadi pelaburan di akhirat kelak.
Rasulullah SAW bersabda, ada tiga perkara yang mengiringi jenazah ke kuburan iaitu ahli keluarganya, harta bendanya dan amalan, tetapi yang kekal bersama jenazah hanyalah amalannya, manakala ahli keluarga serta segala harta bendanya akan pulang meninggalkannya berseorangan di dalam kubur.
No comment yet, add your voice below!