Sakit, sihat, ajal dan maut adalah rahsia Allah. Hanya Allah yang mengetahui. Ada orang tenang saja dan langsung tidak mengeluh apabila ditimpa sakit. KERANA dia tahu Allah S.W.T sayangkan dia.
Sakit adalah penghapus dosa. Sakit itu ujian. Tanda Allah masih melihat kita, masih sayangkan kita melebihi yang lain. Sakit juga adalah hadiah agar kita menjadi lebih baik dan bertaqwa di sisinya. Dalam Al-quran, surah Al-Baqarah ayat 286 menyebutkan bahawa, Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
5 Ujian Kesusahan Penghapus Dosa
1.Keletihan
Rasa keletihan sering dialami pada seseorang yang melakukan kerja tanpa rehat. Dalam pandangan Islam, kerja adalah sebuah kehormatan. Sekecil apapun peranan seseorang itu dalam sebuah pekerjaan, bila dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas akan memberi nilai kepada diri sendiri. Setiap keringat yang dikeluarkan akan dinilai sebagai satu ibadah kepada Allah S.W.T
Harus selalu ingat, bahawa bidang pekerjaan ini luas. Sesuatu pekerjaan tidak hanya dilihat pada yang bekerja makan gaji atau bekerja sendiri hatta seorang suri rumah dan sukarelawan juga dianggap sebagai salah satu pekerjaan.
Oleh itu, jangan cepat merasa lelah dan penat dengan tugas yang dilakukan, pandang pekerjaan itu sebagai kebaikan yang Allah S.W.T hantar kepada sebagai penghapus dosa-dosa yang lalu.
2. Kesakitan
Setiap manusia pasti akan melalui pengalaman sakit sama ada sakit biasa mahupun sakit kronik. Rasa kesakitan datang dalam pelbagai bentuk yang tidak diduga. Apabila diri diuji dengan kesakitan sudah tentu ramai diantara kita yang mengeluh dan dihimpit kesedihan. Malah, ada juga sebilangan orang yang mempersoal kenapa dirinya ditakdirkan sakit dan seumpamanya.
Kalau dalam tempoh seminggu, 6 hari kita sihat dan kemungkinan 1 hari Allah uji dengan sakit, kita tetap perlu mengucapkan Alhamdulillah. Bersyukur kerana itu adalah bukti kasih sayang Allah pada kita. Antara ramai-ramai hambaNya, Allah memilih kita pada hari tersebut untuk memberi ujian dan membuka jalan bagi menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan.
Oleh itu, berusahalah menjadi orang yang sabar ketika diuji penyakit. Jangan berhenti mengharapkan pertolongan Allah S.W.T. Dalam waktu yang sama ada juga usaha untuk mencari jalan untuk sembuh dari penyakit tersebut.
Ketahuilah, di sebalik ujian sakit yang ditimpakan ke atas seseorang walau hanya kesakitan kecil terselit hikmah disebaliknya. Namun, mereka yang benar-benar bersabar sahaja yang dapat meraih imbalan tersebut.
3. Kebimbangan
Rasa kebimbangan, khuatir dan was-was adalah muslihat syaitan untuk
memperdayakan manusia supaya timbul keraguan dalam hati akan kekuasaan Allah S.W.T, jalan takdir yang telah ditetapkan oleh Dia untuk kita sebelum kita
lahir lagi.
Sebagai makhluk yang berakal, ikhtiar kita untuk keluar dari rasa kebimbangan ini adalah dengan berdoa dan bertawakal. Keputusannya, serahkan kepada Allah S.W.T. Dengan begitu, hati kita akan lebih tenang dan bahagia.
4. Gangguan
Kadang-kadang, kita yakin dalam hati dan percaya pada diri sudah cukup kuat untuk bertahan jika ada badai atau ujian yang mendatang. Allah uji juga hambaNya dengan hadirnya gangguan dan kekacauan dari sekeliling. Boleh jadi gangguan dari masalah tempat kerja, anak jadi nakal, hutang, masalah pada pasangan atau pada diri sendiri.
Selain gangguan yang kita boleh nampak secara fizikal, ada juga bentuk gangguan yang kadang berlaku tanpa sedar. Masa kita nak melakukan sesuatu perkara yang baik, tiba-tiba datang bisikan syaitan untuk menangguhkan dahulu niat baik tersebut dan ada kemungkinan juga untuk membuatkan kita terus terlupa.
Jadi, ketika kita sudah berniat untuk melakukan perkara baik, segera lakukan perkara tersebut dan mohon pertolongan Allah supaya memudahkan urusan kita untuk menyampaikan kebaikan. Bila boleh yakin dan bersabar, dosa-dosa kita akan gugur.
5. Kesedihan
Mustahil hidup kita sentiasa gembira, bahagia dan selalu berjaya. Sekali-sekala Allah uji dengan kesedihan, kekecewaan dan kekalahan supaya kita selalu ingat pada Allah S.W.T, tidak riak dan tidak sombong. Selalu menunduk ke bawah dan mengucapkan syukur.
Besar atau kecil ujian kesedihan yang dihadapi oleh seseorang tidak bermakna kita boleh memandang ringan dan serong pada dia. Allah menguji hamba-hambaNya sesuai dengan kemampuan mereka untuk menghadapinya. Allah maha mengetahui segalanya.
Masa sedang bersedih itulah tempoh terbaik untuk kita mengadu, berbicara dan memohon keampunan Allah S.W.T atas dosa-dosa yang kerap kali dilakukan. Kerana pada waktu tersebut kita lebih ikhlas dan boleh berlaku jujur dengan Allah S.W.T.
Ada pepatah mengatakan sabar menanti pelangi selepas hujan. Yang bermaksud akan ada kebahagiaan setelah kesedihan yang panjang. Kenikmatan yang lebih indah, cantik dimiliki oleh orang yang terpilih supaya dia dapat sebarkan lebih banyak kebaikan kepada orang yang ramai.