Setiap hari manusia melakukan kesilapan secara sedar atau tidak. Hal ini terjadi kerana sifat manusia itu sendiri yang tidak sunyi dari kesilapan. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Setiap anak Adam itu bersalah, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah yang bertaubat.” Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah.
Daripada hadis di atas, jelas mengatakan bahawa hampir semua manusia mempunyai kesilapan. Apa yang membezakannya ialah kesilapan yang dilakukan dan kekerapan melakukan kesalahan tersebut.
Para Rasul dan Nabi termasuk Nabi Muhammad SAW terpelihara dan bebas dari dosa sebagaimana yang diterangkan dalam Al-Quran dan hadis. Dalam kisah para rasul dan nabi terdapat beberapa rasul atau nabi yang melakukan satu kesalahan. Seperti kisah Nabi Adam AS memakan buah khuldi iaitu buah larangan sehingga diturunkan ke bumi.
Manakala dalam kisah Nabi Yunus melemparkan tubuhnya ke dalam laut setelah diundi berkali kali sehingga ditelan ikan paus. Kita tidak boleh mengatakan itu satu kesalahan kerana telah digariskan oleh Allah SWT dengan tujuan Tasyri’ (mempelajari Agama Syariah).
Oleh yang demikian, apa jua bentuk kesalahan yang kita lakukan dan sebesar mana pun kesalahan itu, hendaklah kita bertaubat dengan taubat yang murni kerana kita mencari keredhaan Allah SWT (taubat al-Nasuha) sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah di dalam Al-Quran.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.” QS At Tahrim 28:4.
Pintu taubat Allah SWT terbentang luas. Namun, perlu diingat bahawa peluang terbentang luas ini juga ada pengakhirannya. Pintu taubat Allah SWT akan tertutup jika seseorang hamba itu hampir menemui ajalnya dan apabila telah sampai detik kehancuran dunia iaitu tibanya hari kiamat.
No comment yet, add your voice below!