Skip to content

Nikmat Yang Sering Diabaikan

Loading

Kita sebagai umat Islam mestilah bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Kita sebagai hamba-Nya mestilah sentiasa lakukan perkara yang tidak melanggar larangan-Nya. Lakukan banyak amal ibadat untuk akhirat kelak supaya ianya menjadi persediaan kita apabila kita sudah meninggal dunia.

Dari Abi Huhairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia,maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.

Sejak kebelakangan ini, kita mendapati bilangan kes Covid-19 kembali meningkat hingga mencecah jumlah 4 angka. Ia menunjukkan bahawa usaha memerangi pandemik ini masih panjang dan belum berakhir. Allah SWT telah mengurniakan nikmat yang begitu banyak kepada kita. 

Kita pastinya tidak mampu menghitung segala nikmat tersebut apatah lagi untuk membalas atau menggantikannya semula. Allah SWT menyatakan dalam Surah al-Nahl ayat 18 yang bermaksud;

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan oleh-Nya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Hakikatnya, kita manusia sering terlupa dan lalai dengan dua nikmat besar yang kita terima. Sabda Rasulullah SAW:

 “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia ialah kesihatan dan waktu lapang.” (Hadis riwayat al-Bukhari) 
1. Nikmat sihat
  • Nikmat sihat adalah satu nikmat yang sangat-sangat bernilai dalam kehidupan manusia. Malah, mungkin nikmat yang paling berharga setelah nikmat Iman dan nikmat Islam. Dengan nikmat sihat, manusia dapat melakukan pelbagai aktiviti dan dapat hidup dengan sempurna.
 2. Nikmat masa lapang
  • Nikmat masa lapang merupakan antara berbagai-bagai nikmat yang telah dikurniakan Allah kepada manusia. Perkara ini memang benar. Cuba kita imbas balik masa yang telah berlalu. Kadang-kadang, ada waktu yang kita merasakan sangat-sangat sempit disebabkan bebanan kerja yang bertimbun. Pada waktu ini, masa kita sangat terbatas. Masa kita hanya ditumpukan kepada kerja yang dibebankan itu. 

Sampaikan kita tidak ada waktu untuk berhibur, waktu untuk beribadat pun menjadi semakin sempit. Tetapi, di waktu yang lain pula, kita merasakan sangat-sangat lapang, kerana bebas daripada apa-apa kerja, bebas daripada apa-apa pertanggungjawaban dunia. Waktu lapang inilah nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita untuk kita manfaatkan dengan sebaiknya.

Dalam hadis yang lalu, telah dinyatakan bahawa nikmat masa lapang adalah antara nikmat yang sering dilalaikan oleh manusia.

Okey berbalik kepada isu covid-19 ini, usaha memerangi pandemik Covid-19 ini bukanlah tanggungjawab pihak pemerintah dan pihak berkuasa semata-mata. Seluruh rakyat perlu memainkan peranan dalam memutuskan rantaian jangkitan wabak penyakit ini. Kini kita semualah bertindak sebagai petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab memastikan jangkitan wabak ini terhenti. 

Islam sendiri juga sangat menitikberatkan soal kesihatan dan pencegahan penyakit lebih-lebih lagi penyakit yang mengancam nyawa. Rasulullah SAW pernah mengingatkan tentang beberapa peluang besar yang dikurniakan kepada kita yang tidak patut dipersiakan. Sabda Rasulullah SAW:

“Ambillah kesempatan lima (keadaan) sebelum datang lima (keadaan). (Iaitu) masa mudamu sebelum (datang masa) tuamu, kesihatanmu sebelum (datang) sakitmu, kecukupanmu sebelum (datang) fakirmu, kelapanganmu sebelum (datang masa) sibukmu, kehidupanmu sebelum (datang) kematianmu.” (Hadis riwayat alHakim) 

Tingkatkan disiplin dan kawalan kendiri bagi memastikan diri kita, ahli keluarga kita, jiran, masyarakat sekeliling kita terhindar dari wabak penyakit yang berbahaya ini. Jangan kita leka dan lalai kerana perjuangan belum selesai. 

Tingkatkanlah keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT kerana ia juga merupakan salah satu cara bagi memohon Allah SWT mengangkat segala ujian dan musibah yang melanda kita pada hari ini. 

Bersyukurlah dengan nikmat kesihatan yang telah diberikan oleh Allah SWT dengan memanfaatkannya kepada perkara yang baik dan melakukan ketaatan kepadaNya. Sesungguhnya, amatlah sedikit orang-orang yang mensyukuri nikmat Allah SWT.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Saff ayat 10-11)

Dan, cukuplah kata-kata di atas sebagai pembakar semangat dan pendorong buat kita semua dalam memanfaatkan nikmat-nikmat Allah dan menggunakannya untuk ketaatan kepada Allah, dan seterusnya mencapai kejayaan di hari akhirat kelak. InsyaAllah.

Share:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Print
Pengetahuan

Aktiviti & Artikel Terbaru

Daftar dan terus belajar Kaedah Haraki