Skip to content

Jenis-Jenis Tarannum: Mari Kenali Alunan Merdu Tarannum

Loading

.

Secara umumnya, tarannnum membawa maksud memperbaiki dan mengindahkan suara si pembaca melalui proses nada, rentak dan irama yang tertentu. Justeru itu, ia juga dikenali sebagai lagu ketika membaca al – Quran. Selain daripada membaca al – Quran dengan tajwid dan sebutan yang betul, umat Islam juga dialu-alukan untuk mengalunkan suara dengan bertarannum kerana ia dapat membuatkan si pembaca lebih menghayati dan mendalami keindahan ayat suci al – Quran. Seruan ini dapat dilihat melalui hadis Nabi SAW:

لَيْسَ مِنَّا مَن لَّمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ

Yang bermaksud: “Bukanlah dari kalangan kami (umatku) yang tidak melagu-lagukan (bertarannum) dengan al-Quran.”

Jenis – Jenis Tarannum

1. Tarannum Bayati

Tarannum jenis ini mempunyai kelembutan yang tersendiri walaupun pada asalnya dibaca dengan sedikit nada ketegasan. Ianya sesuai untuk mereka yang baru mencuba untuk menjinak-jinakkan diri dengan tarannum kerana jenis ini mudah, bahkan merupakan asas dalam ilmu tarannum. Sering digunakan ketika pembukaan dan penutupan persembahan bacaan al-Quran.

Boleh tonton video cara pembacaan Tarannum Bayati di bawah ini:

Kredit: Ahmad Firli

2. Tarannum Nahawand

Tarannum Nahawand memiliki lenggok bacaannya yang tersendiri. Alunannya ringan dan bersahaja, tidak memaksa tetapi masih mampu memikat jiwa. Oleh sebab alunannya yang merdu, jenis tarannum ini sesuai untuk bacaan ayat al-Quran yang berbentuk sebuah penceritaan kerana mampu memukau pendengar untuk kekal mendengar dan beri perhatian sehingga tamat bacaan.

Boleh tonton video cara pembacaan Tarannum Nahawand di bawah ini:

Kredit: Afifah Zaki

3. Tarannum Hijaz

Alunan jenis tarannum ini pula agak tegas dan menekan berbanding tarannum yang sudah disebutkan sebelum ini. Tarannum Hijaz ini sesuai digunakan untuk ayat-ayat al-Quran yang mempunyai unsur berdoa, perintah, memberi amaran ataupun marah. Ini kerana nada ketegasan yang terdapat di dalam tarannnum ini mampu menyampaikan mesej dengan lebih baik dan memberi gambaran dan idea bahawasanya ayat itu membawa makna yang serius, tegas dan memerlukan perhatian.

Boleh tonton video cara pembacaan Tarannum Hijaz di bawah ini:

Kredit: Afifah Zaki

4. Tarannum Rast

Alunan bagi Tarannum ini hampir sama dengan tarannum Sikah dan juga Jiharkah. Jika didengar dengan penuh teliti, anda akan mendapati tarannum jenis ini seolah-olah ada bunga-bunga kecil pada alunannya. Ini kerana tarannum ini dibaca dengan unsur getaran yang tidak melampau tetapi mencukupi, namun masih ada penekanan pada huruf-huruf tertentu.

Boleh tonton video cara pembacaan Tarannum Rast di bawah ini:

Kredit: Afifah Zaki

5. Tarannum Sikah

Ayat-ayat al-Quran yang menceritakan kisah para Nabi dan kaum mereka, ataupun ayat yang menceritakan tentang kerohanian dan hari kiamat sesuai menggunakan tarannum jenis ini. Alunan yang dibawa oleh tarannum Sikah ini jika diamati dengan penuh rasa, mampu membuatkan bulu roma si pendengar naik kerana alunannya ringan, tetapi padat dengan ketegasan. Justeru itu ianya sesuai digunakan untuk ayat yang memberi peringatan dan nasihat.

Boleh tonton video cara pembacaan Tarannum Sikah di bawah ini:

Kredit: Fakhrul UNIC

6. Tarannum Jiharkah

Jika anda menggemari tarannum yang mendayu-dayu dan merintih, maka tarannum Jiharkah lah yang anda cari. Tarannum ini sering digunakan jika para Qari ingin menceritakan tentang sebuah rintihan, meminta pengampunan, sebuah doa mahupun soal hari kiamat. Tarannum ini membawa alunan yang mampu meruntun jiwa pembaca dan pendengar, sekaligus menjadikan bacaan lebih dihayati. Oleh sebab itu lah ayat al-Quran yang meminta pengampunan sesuai menggunakan tarannum Jiharkah.

Boleh tonton video cara pembacaan Tarannum Jiharkah di bawah ini:

Kredit: Fahmi Asraf

Meskipun bacaan yang bertarannum bukanlah satu kewajipan, namun jika bacaan ayat al-Quran dibaca dengan lagu yang mendayu dan merdu, pasti dapat mengindahkan lagi suasana bagi si pembaca dan juga pendengar. Penting juga untuk memahami maksud tersurat mahupun tersirat sesebuah surah sebelum membacanya dengan tarannum. Hal ini demikian kerana setiap jenis tarannum mempunya karakternya yang tersendiri, malah mempunyai gaya penceritaan bergantung kepada alunan dan getaran yang terdapat di dalamnya. Justeru itu, pemilihan tarannum amat penting bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan melalui ayat tersebut sampai dengan baik kepada penerima dan pendengar.

Share:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Print
Pengetahuan

Aktiviti & Artikel Terbaru

Daftar dan terus belajar Kaedah Haraki