Agama Islam sangat menitikberatkan soal berbuat baik kepada kedua ibubapa. Bahkan amalan birr al-walidayn (berbuat baik kepada kedua ibubapa) merupakan antara ibadah yang paling besar selepas tauhid kepada Allah S.W.T. Ini seperti yang dinyatakan dalam firman Allah S.W.T:
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
Maksudnya: Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa. -Surah Al-Nisa’
Dapat dilihat dalam konteks ayat di atas, Allah S.W.T meletakkan tuntutan berbuat baik kepada kedua ibubapa sebaik sahaja menyuruh umat Islam untuk tidak mensyirikkan Allah.
Meskipun kita dituntut untuk berbuat baik dengan kedua ibubapa, namun terdapatnya sebuah riwayat yang melebihkan kedudukan seorang ibu berbanding bapa. Ini dapat dilihat berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W: ‘’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya ?’’. Maka Rasulullah S.A.W. menjawab:
أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ
Maksudnya: Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu. -HR riwayat Muslim
Melebihkan kedudukan seorang ibu adalah kerana kesukaran ibu menghadapi saat kehamilan, kesukaran melahirkan anak, kesukaran menyusu dan menjaga anak hanya dialami oleh seorang ibu. Jadi tidak hairanlah, ketiga-tiga bentuk penghormatan itu hanya dimiliki oleh seorang ibu, manakala seorang bapa tidak memilikinya.
Sebagai kesimpulan, marilah kita sama-sama mempertingkatkan amalan berbuat baik kepada kedua ibubapa kita, lebih-lebih lagi kepada seorang ibu yang telah mengandungkan, melahirkan kita ke dunia dengan susah payah, serta menyusukan kita dengan penuh kesabaran.
Marilah kita banyakkan bacaan doa buat ibu bapa kita:
وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
Maksudnya: “Katakanlah: Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya dengan memelihara dan mendidikku semasa kecil.” -Surah Al-Isra’
No comment yet, add your voice below!