Skip to content

Kelebihan membaca Al-Quran

Loading

5 Kelebihan membaca Al Quran

Kelebihan Al-Quran yang paling besar untuk sekalian makhluk di muka bumi ini ialah ianya tidak akan hilang dan berubah sehingga akhir zaman. Tidak seperti kitab-kitab lain yang telah diubah oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab seperti kitab Zabur, Taurat dan Injil yang diturunkan untuk Nabi-nabi terdahulu.

Kelebihan-kelebihan membaca Al-Quran:

  1. Al-Quran sebagai syafaat di akhirat kelak.

Daripada Abu Umamah r.a melaporkan: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadith Abu Umamah ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim, kitab Solat Al-Musafirin Wal Qasruha, Bab Fadhlu Qiraat Al-Quran Wa Surah Al-Baqarah, No hadith 252)

Syafaat merupakan antara perkara yang sangat diperlukan nanti, selaku umat Nabi Muhammad S.A.W, Insyaallah kita akan mendapat syafaat Baginda dengan syarat kita mengamalkan perintah Baginda dan menjauhi larangannya. Selain Baginda Rasul S.A.W, Al-Quran juga akan datang dan memberi syafaat bagi pihak kita yang selalu membacanya, agar Allah s.w.t menerima amalan kita dan memasukkan kita ke dalam syurga yang paling tinggi.

      2. Orang yang belajar dan mengajar Al-Quran adalah sebaik-baik amalan.

Daripada Uthman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”.

Sebagai umat Islam, kita hendaklah mempelajari ilmu-ilmu berkaitan Al-Quran walaupun sedikit, dari segi ilmu tajwidnya, tafsir surahnya, fadilat surah, pengajaran ayat, dan pelbagai lagi cabang ilmu Al-Quran. Namun pastikan ilmu yang kita dapati itu dari sumber yang benar-benar sahih.

      3. Menghafal sepotong ayat Al- Quran ibarat cahaya

Dari Ibnu Abbas RA berkata: “Rasulullah S.A.W bersabda: (Sesiapa yang tidak menghafal sesuatu pun dari Al-Quran adalah ibarat rumah yang rosak.)” (Hadis riwayat At-Tirmizi, katanya hadis hasan shohih)

Al-Quran itu merupakan cahaya bagi hati, maka sekiranya hilang cahaya dari hati kita ianya ibarat rumah yang rosak menunggu roboh iaitu tiada kebaikan padanya. Hadis ini merupakan motivasi untuk terus-menerus membaca dan menghafal Al-Quran serta tidak meninggalkan amalan membaca Al-Quran walaupun satu muka surat sehari.

    4. Fasih membaca Al-Quran lebih layak menjadi imam solat jemaah.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca Al-Quran”. (Hadith Ibnu Mas’ud ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim).

     5. Memperbaiki suara dengan Al-Quran.

Daripada Al-Bara’ bin ‘Aazib, Rasulullah s.a.w. bersabda: Hiasilah Al-Quran dengan suara kalian. (Hadith Al-Bara’ bin ‘Aazib ini direkodkan oleh Ibnu Majah dalam Sunan Ibnu Majah, Kitab Iqamat As-Solat Wa Sunnah Fiha, Bab Fi Hasan As-Saut Bil Quran, No hadith 1342, status hadith ini sahih)

Hadis di atas menerangkan kelebihan membaca Al-Quran. Jelas menunjukkan bahawa Al-Quran bukan sahaja mukjizat tetapi memberi kelebihan kepada pembacanya. Membaca Al-Quran dengan memahami makna tersurat dan tersirat mampu menyentuh hati dan jiwa manusia bahkan jin juga terkesan dengan keindahan bait-bait ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Rasulullah s.a.w. ketika solat.

Kesimpulannya, jadikanlah Al-Quran sebagai amalan seharian walaupun sedikit dan Nabi S.A.W juga ada menyatakan di dalam hadis Baginda S.A.W sebaik-baik amalan itu adalah yang konsisten walaupun sedikit. Semoga Allah swt menjadikan kita dan ahli keluarga kita bahkan orang sekeliling kita juga ahli Al-Quran, orang yang selalu membaca, mentadabbur, menghafal, mengamal & menyebarkan kebaikan Al-Quran ini. InsyaaAllah.

Share:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Print
Pengetahuan

Aktiviti & Artikel Terbaru

Daftar dan terus belajar Kaedah Haraki