Di dunia ini setiap orang pasti akan berdepan dengan ujian tanpa mengira sesiapa, harta, pangkat, warna kulit atau bangsa. Hidup di dunia ini adalah untuk di uji, akan tetapi Allah SWT tidak akan menguji hambaNya melebihi kemampuan kita. Saat kita menerima ujian, sematkan di hati bahawa setiap ujian yang diberikan merupakan tanda kasih sayang Allah SWT terhadap hambanya.
Di saat kita terhimpit dengan pelbagai masalah, kita cuma ada dua pilihan iaitu terus yakin dengan Allah SWT dan meminta pertolongan dariNya atau terus berputus asa. Maka, walau apa pun yang berlaku, sentiasa memohon dan memanjatkan doa kepada Allah SWT. Kita juga perlu sentiasa berdoa agar dipermudahkan urusan dan dikeluarkan dari belenggu masalah dan juga jangan putus asa disaat saat diri diuji. Semoga kita sentiasa kuat dan mampu untuk menghadapi apa sahaja ujian yang melanda dalam kehidupan kita.
Berputus asa bermaksud sudah berhenti mengharap kebaikan atau kurniaan serta kasih sayang Allah SWT. Ianya juga bermaksud sudah berhenti untuk meneruskan usaha dalam mencapai tujuan dan sudah berhenti mengharap untuk mendapat apa yang dicitakan. Apabila kita sudah berhenti mengharap akan sesuatu maka kita juga akan berhenti berdoa. Apabila berhenti berdoa maka akan kita berhenti berusaha untuk mencapai tujuan dan akan menyerah kalah. Dalam erti kata mudah kita berputus asa.
Mari kita lihat ayat-ayat Al-Quran tentang berputus Asa.
- Al-Insyirah: 6
إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
Artinya: “Sesungguhnya bersama kesulitan pasti ada kemudahan.”
Ayat di atas mengingatkan manusia untuk tetap bersabar menghadapi segala ujian yang diberi Allah SWT. Dalam artian tetap berusaha mencari solusi dari setiap permasalahan yang ada.
2. At-Taubah: 40
لَا تَحْزَنْ اِنَّ اللّٰهَ مَعَنَاۚ
Artinya: “Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah bersama kita.”
Ayat ini menceritakan bahawa, barang siapa yang yakin dan percaya bahawa Allah SWT selalu bersamanya, maka ia tak perlu takut apalagi harus bersedih. Ini kerana ada Allah SWT yang sentiasa menenangkannya. Sehingga, hilanglah rasa takut dalam dirinya. Dan hanya takutlah kepada Allah SWT saja. Tidak ada manusia yang tidak pernah mendapatkan ujian. Setiap manusia menghadapi ujian berbeza-beza.