Jalur gemilang merupakan bendera negara Malaysia yang mempunyai 14 jalur terdiri daripada warna merah, putih, biru dan kuning. Jalur ini bermula dengan jalur berwarna merah dan berakhir dengan jalur berwarna putih. Selain itu, jalur gemilang ini mewakili 13 buah negeri serta satu jalur mewakili kerajaan persekutuan.
Dalam menyambut ketibaan hari kemerdekaan rasmi negara pada 31 Ogos serta sambutan Hari Malaysia pada 16 September bendera Malaysia dipasang dan dikibarkan sebagai lambang kedaulatan sesebuah negara. Sebelum mengibarkan bendera faktor tempat, masa, saiz bendera, tiang dan susunan bendera sekiranya lebih dari satu jenis bendera perlu diketahui bagi mengelakkan kesalahan protokol mengibarkannya.
Cara Hormat Bendera Malaysia
Jabatan Perdana Menteri telah menetapkan beberapa garis panduan agar penggunaan jalur gemilang sentiasa dihormati oleh rakyat Malaysia. Antaranya:
- Bendera hendaklah dipasang secara melintang sahaja. Tidak boleh dipasang secara menegak sekiranya berkedudukan statik atau tidak berkibar.
- Walaubagaimanapun dibolehkan memasang secara menegak sekiranya bendera disambung dalam kuantiti yang banyak (Flagline).
- Penggunaan bendera dalam bentuk pelbagai seperti pakaian dan sebagainya perlu dielakkan kecuali semasa sambutan Bulan Kemerdekaan dan jangka masa penggunaannya adalah terhad.
- Tidak boleh menggunakan bendera dalam perkara yang ditafsirkan sebagai merendahkan martabat Jalur Gemilang seperti alas meja, kain tudung, payung, songkok, topi, tuala mandi, alas kusyen dan sebagainya.
- Pengunaan bendera dalam pelbagai gaya dan bentuk seperti iklan dalam tujuan mempromosi sambutan Bulan Kemerdekaan dibenarkan asalkan kreativiti tersebut tidak ditafsirkan sebagai menghina bendera.
- Mengibarkan bendera yang telah uzur seperti telah pudar warna dan koyak adalah satu kesalahan atau ketidakwajaran.
Oleh itu betapa pentingnya, bendera kebanggaan negara dilindungi dengan sebaik yang mungkin. Bagi mengatasi masalah ini, pihak-pihak yang berkaitan perlu mengambil tindakan yang lebih tegas melalui segala peruntukkan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana individu atau organisasi yang dilihat tidak menghormati bendera negara kita seperti yang termaktub dibawah Kanun Keseksaan, Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.
No comment yet, add your voice below!