Korban
Ibadah korban merupakan sunat muakkad, iaitu ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam. Ibadah ini dilakukan pada bulan terakhir dalam kalendar Hijrah. Rasulullah s.a.w. sangat menyukai ibadah korban dan sering menggalakkan sahabat-sahabat baginda yang berkemampuan untuk menjalankan ibadah tersebut.
Dari segi bahasa, korban bermaksud melepaskan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu benda/perkara yang lain. Manakala menurut istilah, korban bermaksud menyembelih haiwan-haiwan tertentu pada Hari Raya Aidiladha iaitu pada setiap 10 Zulhijjah dan juga Hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Tujuan dan niat ibadah korban ini hendaklah semata-mata untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Haiwan yang boleh dijadikan sebagai korban ialah kambing, kambing biri-biri, lembu, unta dan juga kerbau. Haiwan yang cacat, sakit dan kurus tidak boleh dijadikan sebagai haiwan korban kerana tidak menepati syarat-syarat sah korban yang mana haiwan-haiwan tersebut haruslah sihat, tidak kurus dan tidak cacat.
Jenis-jenis Korban
Umumnya, ibadah korban ini terbahagi kepada dua jenis iaitu korban nazar (wajib) dan juga korban sunat. Jenis korban yang dilakukan oleh seseorang itu penting untuk difahami kerana ianya akan memainkan peranan yang penting ketika proses pembahagian nanti. Korban nazar terjadi apabila seseorang itu telah berjanji dengan Allah SWT untuk berbuat demikian. Disebabkan itu lah korban nazar menjadi ibadah wajib untuk dilaksanakan oleh orang yang telah bernazar tersebut. Ini dapat dilihat melalui kisah Nabi Ibrahim yang telah bernazar untuk melakukan korban. (Boleh baca posting blog yang bertajuk “Hari Raya Haji (Bahagian 1: Sejarah Ringkas) untuk ketahui lebih lanjut.
Pembahagian daging korban bagi mereka yang bernazar ialah wajib untuk semua daging termasuk kulit serta tanduk haiwan korban itu disedekahkan kepada orang fakir miskin dan haram bagi mereka yang bernazar untuk makan daging haiwan korbanannya. Golongan ini juga dilarang untuk memanfaatkan sembelihan itu untuk kepentingan dirinya sendiri. Tetapi, andai kata orang yang telah bernazar itu tadi termakan daging korbanannya dengan tidak sengaja, maka hendaklah dia membayar kadar sebagai ganti rugi terhadap bahagian yang telah dimakan itu tadi.
Berbeza pula dengan pembahagian daging haiwan korban sunat yang dibahaskan menurut pandangan mazhab Shafi’e, pembahagian tersebut terbahagi kepada 3 bahagian. Dan pecahannya adalah seperti berikut:
- 1/3 untuk dimakan oleh pihak yang melakukan korban bersama-sama dengan ahli keluarganya
- 1/3 untuk disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin
- 1/3 untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk golongan yang mampu dan kaya serta jiran tetangga
Kesimpulan
Ibadah korban merupakan satu ibadah yang sangat bagus dan baik kerana bukan sahaja ianya dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, malah ianya dapat menambah keberkatan dalam rezeki dan kehidupan kita kerana kita telah berkongsi rezeki dengan orang lain. Bukan itu sahaja, kita juga dapat beramal dengan bersedekah memberi makanan kepada golongan yang memerlukan. Pasti mereka berasa gembira setelah mendapat sebahagian daging tersebut. Malah, haiwan yang telah dikorbankan akan menjadi saksi terhadap amalan dan ketaatan kita di akhirat kelak. In Shaa Allah.