Skip to content

Doa Tanpa Hijab: Bahagian 1

Loading

Doa merupakan senjata orang mukmin. Kita bukan sahaja boleh berdoa untuk diri sendiri, malah kita boleh mendoakan orang lain juga. Bahkan, jika kita mendoakan orang lain tanpa pengetahuan mereka, kita juga akan mendapat kebaikan tersebut. Kerana itu lah kita kena berkata benda yang baik-baik sahaja kerana kata-kata yang keluar dari mulut kita merupakan sebuah permintaan tanpa kita sedar. Seronok tak kalau doa kita diterima oleh Allah tanpa hijab? Doa tanpa hijab ni bermakna doa yang tiada halangan; terus diterima oleh Allah SWT.

Mari kita kenali beberapa golongan yang doanya tiada hijab:

 

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ يُسْتَجَابُ لَهُنَّ، لَا شَكَّ فِيهِنَّ: دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ، وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ لِوَلَدِهِ

Maksudnya: “Tiga doa yang mustajab dengan tidak syak lagi padanya: Doa seorang yang dizalimi, doa seorang yang bermusafir dan doa ibu bapa kepada anaknya.”

Riwayat Ibn Majah

Dalam hadis di atas, dapat kita lihat bahawasanya terdapat 3 golongan yang doanya mustajab iaitu: doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir, dan doa ibu bapa terhadap anak-anak mereka.

 

1. Doa orang yang dizalimi

Dalam sebuah hadis dari Rasulullah SAW, Ibn Abbas RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW telah mengutus Mu’adz ke Yaman dan baginda berkata kepadanya:

“Takutlah kamu akan doa seseorang yang dizalimi, kerana doa tersebut tidak ada hijab (penghalang) di antara dia dan Allah”

HR Bukhari dan Muslim.

Melalui hadis ini sahaja dapat kita lihat bahawasanya seseorang yang dirinya dizalimi doanya akan diperkenankan terus oleh Allah. Contoh orang yang dizalimi ialah orang yang difitnah, dipukul, dibelasah, dibuli, dicabul maruahnya, dirampas hartanya, dinafikan haknya dan lain-lain perkara yang berbentuk penindasan.

Ada sebuah kisah, Imam Muslim telah meriwayatkan seorang sahabat besar Nabi Muhammad SAW iaitu Sa’id bin Zaid telah berdoa agar Allah SWT mengambil tindakan terhadap Arwa binti Aus yang telah memfitnah Sa’id dengan mengatakan bahawa tanahnya di ambil oleh Sa’id. Lalu Sa’id bin Zaid telah berdoa:

“Ya Allah! Jika dia seorang pendusta, maka butakanlah matanya dan bunuhlah dia dalam tanahnya.”

Maka tak lama selepas itu, pada akhir hayatnya, Arwa menjadi buta mata dan pengakhirannya adalah dia mati terjatuh ke dalam sebuah lubang di kawasan tanahnya. Betapa mustajabnya doa seorang yang dizalimi.

Bahkan, orang fasiq serta orang kafir yang teraniaya, sekiranya mereka berdoa, doa mereka itu juga tiada hijab. Ini dapat dibuktikan melalui sabda Rasulullah SAW:

“Takutlah kamu doa orang dizalimi, sekalipun dia seorang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya)”

HR Ahmad

Dalam riwayat Ahmad yang lain:

“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seseorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya.”

Oleh itu elakkan membalas perbuatan orang yang zalim, kerana Allah sendiri yang akan membalas perbuatan mereka.

2. Doa orang yang bermusafir (sampai ia kembali dari perjalanannya)

Dari Abu Hurairah RA berkata, sabda Rasulullah SAW:

“Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung ialah doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya.”

HR Turmudzi, Ahmad dan Abu Daud

Seseorang yang bermusafir, in shaa Allah doanya akan diperkenankan oleh Allah SWT. Dengan syarat perjalananannya itu merupakan perjalanan ke arah destinasi serta tujuan yang diredhai oleh Allah SWT. Dan ketika dalam perjalanan tersebut, haruslah orang yang bermusafir ini menjaga amalan serta ibadahnya agar perjalanannya itu sentiasa di dalam rahmat. Ketika dalam keadaan bermusafir, banyak perkara yang tidak dapat dilakukan secara biasa.

Kesenangan serta keselesaan yang biasanya dikecapi mungkin tidak dapat dirasai ketika dalam keadaan bermusafir. Oleh sebab itu lah doa orang yang bermusafir ini tiada hijab kerana Allah SWT mahu memudahkan urusan mereka sepanjang perjalanan mereka itu.

Justeru itu, Rasulullah SAW telah mengajar para sahabat mengenai amalan yang patut diamalkan apabila seseorang ingin memulakan perjalanan, iaitu mengucapkan doa kepadanya. Doanya berbunyi “Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.”

3. Doa ibu bapa terhadap anak-anaknya

Daripada hadis yang sama, dari Abu Hurairah RA berkata, sabda Rasulullah SAW:

“Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung ialah doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya.”

Tidak ada sangsi lagi bahawasanya doa ibu merupakan antara nikmat di dunia yang dihadiahkan oleh Allah SWT kepada kita. Selalu dah kita dengar ramai orang kata mulut mak-mak ni ‘masin’. Sedangkan hakikatnya, doa mak-mak ni tiada hijab. Itu lah kelebihan yang mereka dapat setelah mengandungkan dan melahirkan anak-anak mereka. Oleh sebab itu juga lah seorang ibu itu harus menjaga percakapan mereka kerana kata-kata mereka itu merupakan doa yang akan terus didengar.

Tambahan pula, dari Abdullah bin ‘Amrin bin Ash RA, ia berkata, Nabi Muhammad SAW telah bersabda: “Keredaan Allah itu terletak pada keredaan kedua ibu bapa, dan murka Allah itu terletak pada murka kedua ibu bapa.”

HR At Tirmizi

Jelas di sini bahawasanya hubungan antara kita sebagai anak dengan ibu harus dijaga dan dipelihara kerana keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu dan bapa. Wallahua’lam.

Share:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Print
Pengetahuan

Aktiviti & Artikel Terbaru

Daftar dan terus belajar Kaedah Haraki