Seperti yang kita sudah sedia maklum sebelum ini, terdapat 3 golongan yang doanya tiada hijab. Tiada hijab bermaksudnya doa yang tiada halangan, in shaa Allah. Posting kali ini kita akan kongsikan beberapa golongan lain yang doanya juga tiada hijab.
1. Doa orang yang berpuasa, sehingga dia berbuka puasa
Dalam sebuah hadis qudsi:
“Puasa adalah milik-Ku dan Akulah yang akan membalasnya.”
Mungkin ada yang tidak tahu, puasa merupakan satu amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT. Disebabkan itulah pahala untuk orang yang berpuasa hanya Allah SWT sahaja yang akan berikan. Bahkan Malaikat sendiri pun tak tahu berapa banyak pahala yang perlu dicatatkan untuk sekalian umat yang berpuasa. Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda yang berbunyi:
“Ada 3 jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT iaitu doa orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka, doa seorang pemimpin yang adil dan doa orang yang teraniaya.”
(HR At-Turmudzi)
2. Doa seorang pemimpin yang adil
Dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, dinyatakan salah satu daripada 7 golongan yang mendapat naungan Allah pada hari Kiamat kelak ialah seorang pemimpin yang adil.
Dalam hadis ini jelas ternyata betapa pentingnya untuk kita menjadi seorang pemimpin yang adil sehinggakan mereka dijanjikan untuk mendapat naungan Allah. Seorang pemimpin yang adil mesti lah mengutamakan rakyat serta menjaga dan melaksanakan amanah yang diberikan. Para pemimpin seharusnya tidak memandang ringan suara rakyat kerana seorang pemimpin yang adil dan baik akan didoakan kesejahteraan oleh rakyat jelatanya. Pemimpin seperti ini akan sentiasa dirahmati oleh Allah SWT kerana pemimpin sebegini berusaha untuk memudahkan urusan rakyatnya yang sedang berada dalam kesusahan.
Oleh sebab itu lah doa seorang pemimpin yang adil tidak akan ditolak kerana sudah pasti mereka juga akan mendoakan kesejahteraan rakyatnya.
3. Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang bertemu kerana Allah SWT
Dari Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah SWT.”
(HR Muslim)
Hadis di atas menyentuh tentang sebuah persahabatan yang terjadi kerana Allah SWT dan mereka tinggal berjauhan. Oleh sebab itu mereka saling mendoakan kebaikan antara satu sama lain. Maka menurut hadis di atas, doa mereka ini tiada hijab dan diterima oleh Allah SWT. Marilah kita sama-sama mendoakan kebaikan untuk sahabat handai kita.
4. Doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya
Dari Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
“Apabila seseorang di antara kamu meninggal dunia, maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya.”
(HR Muslim)
Berkenaan dengan hadis ini pula, dapat kita fahami bahawasanya bukan sahaja doa dari ibu bapa untuk anaknya yang tiada hijab, doa dari seorang anak soleh untuk kedua ibu bapa mereka juga tiada hijab. Anak yang soleh adalah mereka yang taat dan patuh kepada Allah serta berpegang pada ajaran dan sunnah Rasulullah SAW. Mereka juga anak yang sentiasa berbakti dan menjaga hati kedua dua orang tua mereka. Setelah ibu bapa mereka meninggal, anak-anak soleh ini melakukan sedekah dan amal kebajikan ke atas nama ibu bapa mereka. Doa anak-anak soleh ini mustajab di sisi Allah SWT.
Hadis lain yang menyokong kenyataan ini ialah satu hadis dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat seorang hamba yang soleh di syurga, lalu ia bertanya, “Dari mana aku peroleh darjat ini?” Allah SWT berfirman, “Dengan permohonan ampun anakmu untukmu.”
(HR Ahmad)
5. Doa orang yang banyak berdoa
Dari Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang ingin doanya terkabul pada saat sedih dan susah, maka hendaklah memperbanyakkan doa pada saat lapang.”
(HR Tirmidzi & Hakim)
Ini adalah antara perkara yang selalu kita lakukan. Benar, Allah menurunkan ujian kepada kita untuk bermuhasabah diri dan ingat kembali kepadanya. Kerana kadang kita terlalu sibuk dengan urusan harian sehingga kita lupa kita hanyalah seorang hamba. Apabila sudah terhantuk, barulah kita nak ingat kepada Allah. Namun setelah Allah berikan jalan keluar dan kesembuhan, laju saja kita lupa kepada-Nya. Sedangkan kita tak tahu, apabila kita sentiasa ingat Allah pada waktu kita senang, ketika kita susah Allah akan mendengar doa kita tanpa hijab dan in shaa Allah kita akan berasa seperti urusan kita dipermudahkan.
Kesimpulan
Pada posting Doa Tanpa Hijab: Bahagian 1, telah dikongsikan 3 golongan yang mana doanya tiada hijab. Sungguhpun begitu, ini tidak bermakna Allah tidak mendengar doa kita jika kita tidak tergolong di dalam golongan tersebut. Allah itu Maha Mendengar. Doa lah dan mintalah apa sahaja kepada-Nya, nescaya akan diberi mengikut waktu serta ketetapan yang telah Allah rancangkan. Allah masih mendengar doa dan permintaan kita walaupun sebenarnya Allah dah tahu dah apa yang kita nak. Maka, berdoalah. Wallahu’alam.