Ibu bapa adalah orang yang paling berjasa kepada anak-anaknya sehingga tak terbalas jasa mereka kepada kita. Bermula daripada kesusahan ibu mengandung selama 9 bulan dan kesusahan melahirkan, menyusukan dan membesarkan mereka. Ibarat kasih ibu bawa ke syurga kasih ayah sepanjang masa.
Bagi anak-anak jasa dan pengorbanan ibu bapa sangat besar nilainya. Mereka dengan penuh rasa tanggungjawab membesar, mendidik dan memelihara anaknya hingga menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat dan negara. Tanpa mereka siapalah kita di dunia ini, mereka sentiasa mahu kita menjadi manusia yang berjaya.
Kita hendaklah menunjukkan rasa terima kasih dengan sentiasa berbuat baik dan tidak melanggar segala perintahnya, menjaga perasaannya jangan sampai terluka serta menjaganya ketika mereka dalam tua atau uzur. Jangan biarkan orang lain yang jaga ibu bapa kita kerana ibu bapa kita mesti berharap kita sendiri yang jaga mereka.
Sememangnya, kedudukan atau darjat ibu bapa di sisi Allah SWT sangat mulia dan tinggi sekali, sehingga menjadi sebagai ukuran penentu bagi keredaan dan kemurkaan Allah SWT. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah pula terletak pada kemurkaan ibu bapanya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Hakim).
Setiap yang hidup pasti akan mati, jadi sebagai anak apakah hadiah dan bantuan terbaik yang dapat kita berikan tanda kita kasih dan sayang kepada kedua ibu bapa kita setelah mereka meninggal dunia?
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Apabila meninggal dunia seorang anak Adam maka putuslah segala amalannya kecuali tiga iaitu :
- Sedekah yang di tinggalkan semasa hidup.
- Ilmu yang di menfaatkan dan
- Anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.
Berdasarkan hadis di atas terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan oleh seorang anak untuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia iaitu :
- Mohon keampunan untuk mereka.
- Laksanakan wasiat yang mereka tinggalkan.
- Eratkanlah silaturahim dengan orang-orang yang mereka lakukan
- Muliakanlah teman-teman mereka.
- Doakan kepada mereka. (Setiap selepas solat fardu berdoalah kepada Allah SWT untuk kedua ibu bapa supaya Allah SWT mengampunkan semua dosa-dosa mereka)
Selain daripada perkara-perkara diatas seorang anak yang soleh atau solehah akan melakukan beberapa perkara kebaikan untuk membantu ibu bapa mereka yang sedang berada di alam barzakh sebagai ikhtiar dan usaha-usaha untuk membantu mereka beroleh kebaikan dan tambahan pahala yang berterusan.
- Banyakkan bersedekah terutama sedekah jariah (pembinaan sekolah agama, masjid, rumah anak yatim dan mewakafkan tanah perkuburan orang Islam) niatkan untuk mereka.
- Sedekahkan al-Quran, buku-buku Islam di sekolah-sekolah agama atau maahad tahfiz atau dimasjid-masjid niatkan untuk mereka.
- Selalu sedekahkan al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-nas, surah Yasin, surah al-Baqarah dan ayat-ayat al-Quran yang lain untuk mereka. Sebaik-baik yang membacanya adalah kita sendiri sebagai seorang anak.
Selesaikan semua hutang-hutang mereka samaada hutang sesama manusia atau hutang dengan Allah SWT. Jika hutang sesama manusia tidak diselesaikan roh mereka akan tergantung di antara langit dan bumi. Hutang dengan Allah SWT adalah nazarnya (jika ada) fidyah kerana meninggalkan puasa.
Jika ibu bapa mempunyai hutang dengan bank seperti rumah, kereta dan lain-lain pinjaman tersebut melalui cara riba maka tukarkanlah pinjaman tersebut kepada cara muamalah Islam dan tukar hak milik kepada anak-anak, kerana berat dosanya yang ditanggung oleh ibu bapa di alam barzakh.
Jika ibu bapa belum menunaikan haji maka kita boleh upahkan haji untuk mereka (niatkan upah haji untuk mereka).
Akhir sekali,Teruskan berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT. Apabila kita selesai solat fardu atau ketika berada diwaktu-waktu akhir malam , waktu mustajab doa maka berdoalah untuk kesejahteraan ibu bapa kita yang telah meninggal dunia :
Ya Allah sayangilah kedua orang tua kami. Ampuni, rahmati dan redhailah mereka.
No comment yet, add your voice below!