Skip to content

Berdoa: Meminta, Bukan Memaksa.

Loading

Doa merupakan sebuah ibadah yang sangat mudah untuk dilakukan oleh sesiapa pun tanpa mengira keadaan, masa dan tempat. Semua orang boleh berdoa dan memohon kepada Allah tentang apa sahaja yang dikehendaki oleh mereka. Sesungguhnya Allah itu As-Samii’ (السَّمِيعُ), yakni yang Maha Mendengar.

Allah SWT telah berfirman:

Surah Asy-Syura ayat 11,

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

“Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya.

Dan Dia yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”

Bila-bila masa, Allah ada 24/7

Tidak perlu menunggu saat diri ditimpa musibah dan ujian tanpa henti baru reti nak menyebut nama Ilahi. Ibadah berdoa ini bukan sahaja dilakukan ketika kita menginginkan sesuatu, malah ingin memanjatkan rasa syukur pun boleh dilakukan dengan berdoa, selain daripada sentiasa menyebut Alhamdulillah. Bukankah menyebut perkara dan kata-kata yang baik juga adalah satu doa?

Cuma kadang apabila kita sudah tidak menemukan jalan keluar dan jawapan, yang kita lihat hanyalah diri kita tanpa masa depan. Kita tiada pilihan lain selain daripada menjadi seseorang yang terdesak. Kebiasaannya, ketika terdesak kita akan berdoa dengan kesungguhan yang luar biasa, sehingga terlihat seolah-olah kita ini tidak redha dengan apa yang tejadi kepada kita, dan memaksa Allah untuk mengeluarkan kita daripada permasalahan tersebut dengan segera. Sedangkan Allah itu Maha Mengetahui.

Setiap ujian yang diberikan kepada kita pasti ada sebab dan hikmah disebaliknya. Benar, kita rasa sedih dan kadang rasa tak mampu dalam menanggung beban dan ujian, tetapi adakah kita lupa bahawa Allah juga Maha Penyayang? Sesungguhnya Allah tidak pernah berlaku zalim kepada kita, melainkan kita yang menzalimi diri kita sendiri. Salah satu bukti kasih sayang Allah terhadap kita- Dia tahu apa yang kita inginkan, tetapi setiap kali kita berdoa, Dia masih mendengar.

Jangan memaksa, berdoalah dengan penuh rasa

Ramai yang tidak sedar akan pentingnya sebuah doa, sehinggakan mereka lupa untuk berdoa dengan bersungguh-sungguh setelah Allah memakbulkan doa mereka. Sesungguhnya doa itu adalah satu bukti bahawa manusia adalah sesuatu yang lemah. Kita harus sentiasa meminta dan memanjatkan rasa syukur kepada Allah. Jangan pernah berhenti meletakkan Allah sebagai tempat pergantungan. Dan bersangka baiklah dengan setiap perancangan Allah kerana Dia adalah sebaik-baik perancang. Berdoa lah dengan ikhlas kerana itu adalah sebaik-baik doa. Wallahu a’lam.

Share:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Print
Pengetahuan

Aktiviti & Artikel Terbaru

Daftar dan terus belajar Kaedah Haraki