Pada 31 Mei 2022 yang lepas satu Bengkel Pembelajaran dan Pegajaran Asas Al-Quran Kaedah Haraki telah diadakan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Larut Matang dan Selama (LMS), Perak. Program ini telah diadakan di Dewan Arif Budiman LMS yang terletak di Bandar Taiping Perak. Para peserta terdiri daripada Guru Pendidikan Islam yang berada di Daerah LMS. Program ini berlangsung dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.
Program ini telah dikendalikan oleh Al-Fadhil Ustaz Zakaria Nasiruddin, pengasas pembelajaran Al-Quran Kaedah Haraki dan juga Pengerusi Usrah Haraki Sdn Bhd (UHSB). Dianggarkan sebanyak 94 buah sekolah yang terlibat dengan program ini. Antara dif kehormat yang menghadiri program ini ialah Yang Berusaha Puan Nor Haili Binti Mohd Kasim Timbalan PPD Sektor Pembelajaran PPD LMS, Yang Berusaha Ustaz Lokman Bin Ibrahim Penolong Pegawai Pendidikan Islam PPD LMS dan Yang Berusaha Ustaz Fadzilan Bin Rasdi, Penolong Pegawai Pendidikan Islam PPD LMS.
Tujuan program ini diadakan bagi tujuan kajian kebolehgunaan kaedah Haraki kepada anak-anak yang berusia 12 tahun dan ke bawah. Untuk program kali ini Ustaz Zakaria memfokuskan kepada peringkat asas terlebih dahulu kerana peringkat asas adalah peringkat yang paling penting di dalam pembelajaran Al-Quran. Jika peringkat asas masih belum lagi dikuasai maka peringkat seterusnya tidak akan dapat diteruskan.
Sesi pertama telah dimulakan dengan mengenal pasti punca masalah di dalam pembelajaran Al-Quran. Antara masalah yang selalu dihadapi oleh para pelajar ialah kekurangan masa untuk belajar, sukar memahami dan menghafaz hukum tajwid, kaedah pembelajaran yang bosan dan guru Al-Quran yang garang. Perkara ini yang menyebabkan dilema dalam kalangan pelajar. Oleh itu, kaedah Haraki yang telah dicipta oleh Ustaz Zakaria menjadi solusi kepada masalah ini. Haraki bermaksud bergerak, maka kaedah Haraki bermaksud kaedah pergerakan anggota badan atau bahasa akademiknya “Total Physical Response” (TPR).
Kemudian, sesi diteruskan dengan pengenalan vokal, simbol dan konsonan di dalam Al-Quran. Vokal di dalam Al-Quran hanya ada tiga sahaja iaitu “a”, “I”, dan “u”. Vokal mewakili “baris” bagi kaedah pembelajaran sedia ada atau tradisional. Manakala konsonan mewaikili huruf hijaiyah yang terdapat di dalam Al-Quran. Kaedah Haraki mengaplikasikan huruf rumi kerana penggunaan huruf ini telah sebati dalam kalangan masyarakat Malaysia, bukan sahaja bangsa Melayu bahkan seluruh bangsa di Malaysia. Melalui pendekatan ini memudahkan pelajar yang tidak mempunyai apa-apa asas terutamanya bagi golongan mualaf yang rata-ratanya tidak mengenali langsung huruf Jawi.
Kaedah Haraki membahagikan konsonan kepada beberapa kumpulan. Antaranya, Titik Di Mankah Kau?, Kepala Tajam, Doraemon Tidur , Mata Harimau, Filem Bertelur, Dagu Zirafah, Ka…iL dan Pak Cik Hamzah Bisu. Titik Di Manakah Kau? merangkumi Huruf Hijaiyah, ب ن ت ي س ش ث. Kepala Tajam merangkumi huruf, ح ج خ ع غ. Untuk huruf, ص ض ط ظ adalah dalam kumpulan Doraemon Tidur. Manakala, Mata Harimau merangkumi huruf ھ م. Seterusnya, kumpulan Filem Bertelur terdiri daripada huruf ف ق. Selanjutnya, د ذ ر ز و merupakan kumpulan Dagu Zirafah manakala ل ک kumpulan Ka…IL. Bagi kumpulan yang terakhir huruf ء. Menurut Ustaz Zakaria di dalam modul ini, hanya terdapat dua kumpulan konsonan yang agak sukar iaitu Titik Di Manakah Kau? Dan Kepala Tajam.
Setiap kumpulan huruf ini mempunyai keunikan, kisah dan tariannya yang tersendiri. Melalui keunikan dan juga kisah akan memudahkan seseorang pelajar itu mengingati huruf-huruf hijaiyah yang dipelajari. Tarian juga memudahkan seseorang itu mengingati kerana seseorang itu telah mempunyai pengalaman. Dengan pengalaman yang unik seperti belajar huruf hijaiyah dengan tarian maka seseorang itu cepat ingat. Pada program tersebut Ustaz Zakaria membawa sebanyak 5 orang sampel pelajar Sekolah Rendah Bukit Jana Kamunting Perak. Kelima-lima pelajar tersebut mempunyai markah pada tahap yang sangat rendah iaitu 10 dari 50.
Rata-rata pandangan daripada peserta memberikan reaksi yang positif mengenai kaedah Haraki. Kaedah Haraki sangat sesuai kepada golongan kanak-kanak sekolah rendah kerana kaedah ini mempunyai elemen-elemen yang menarik seperti pergerakan, nyayian dan tarian. Kaedah memberikan keterujaan kepada kelima-lima sampel pelajar dan juga para peserta dari kalangan guru-guru Pendidikan Islam di bawah naungan PPD LMS ini.
No comment yet, add your voice below!