Pada posting sebelum ini, kita berkesempatan untuk mengenalpasti 11 lagi kesalahan yang biasa dilakukan ketika membaca Surah Al Fatihah (Ayat 3, 4 dan 5). In shaa Allah kali ini kita akan mengenalpasti pula kesalahan bacaan yang mungkin kita ada lakukan ketika membaca Surah Al Fatihah Ayat 6 dan 7.
Teruskan membaca untuk kita sama-sama perbaiki diri.
Kesalahan Bacaan dalam Ayat 6
21. Kesalahan yang biasa dilakukan: Baris bawah tidak disebut dengan betul lalu sebutan berbunyi “Ehdina…”
Bacaan yang betul: “Ihdina…”
22. Kesalahan yang biasa dilakukan: Huruf ﺹ tidak disabdukan lalu sebutan berbunyi “ihdinaSira…”
Bacaan yang betul: “ihdinaSSira…”
23. Kesalahan yang biasa dilakukan: Huruf ﺭ tidak dibaca panjang 2 harakat (hukum Mad Asli) lalu sebutan berbunyi “…siRa…”
Bacaan yang betul: “…siRAA…”
24. Kesalahan yang biasa dilakukan: Huruf ﻁ ditukar menjadi ﺕ lalu sebutan berbunyi “…siraaTal…”
Bacaan yang betul: “…siraaTOl…”
25. Kesalahan yang biasa dilakukan: Huruf ﻕ berbaris bawah tidak dibaca dengan betul dan kedengaran seperti menyebut huruf ﻙ lalu sebutan berbunyi “…mustaKim”
Apabila huruf ﻕ berbaris bawah, sebutannya menjadi kurang tebal dan kurang menekan, bukan bertukar menjadi nipis.
Bacaan yang betul: “…mustaQim”
Kesalahan Bacaaan dalam Ayat 7
26. Kesalahan yang biasa dilakukan: Huruf ﺭ tidak dibaca panjang 2 harakat (hukum Mad Asli) lalu sebutan berbunyi “siRA…”
Bacaan yang betul: “siRAA…”
27. Kesalahan yang biasa dilakukan: Huruf ﺫ tidak disebut dengan betul makhrajnya lalu kedengaran seperti ﺯ lalu sebutan berbunyi “siraa-tol-laZii..”
Sebutan ﺫ yang betul adalah apabila hujung lidah berada di belakang gigi.
Bacaan yang betul: “siraa-tol-laZHii…”
28. Kesalahan yang biasa dilakukan: Kekeliruan bercampur aduk antara huruf ﺃ dan ﻉ lalu sebutan berbunyi sama ada “…na-AM-AM-ta…” ataupun “…na-‘AM-‘AM-ta…”
Bacaan yang betul: “…na-AN-‘AM-ta…”
29. Kesalahan yang biasa dilakukan: Huruf ﻉ tidak disebut dengan betul dan kedengaran seperti huruf ﺃ lalu sebutan berbunyi “…Alaihim…”
Bacaan yang betul: “…’Alaihim…”
30. Kesalahan yang biasa dilakukan: Huruf ﺭ berbaris bawah tidak disebut dengan betul lalu sebutan berbunyi “…REL…”
Bacaan yang betul: “…RIL…”
31. Kesalahan yang biasa yang dilakukan: Huruf ﻍ dibaca dengan lantunan (qalqalah) lalu sebutan berbunyi “…maGHEdu…”
Bacaan yang betul: “…maGHdu…”
32. Kesalahan yang biasa dilakukan: Huruf ﺽ tidak dibaca panjang dua harakat (hukum Mad Asli) lalu sebutan berbunyi “…maghDU…”
Bacaan yang betul: “…maghDUU…”
33. Kesalahan yang biasa dilakukan: Huruf ﺽ tidak disabdukan dengan betul lalu bacaan berbunyi “…waLADolliin”
Bacaan yang betul: “…waLAODDolliin”
34. Kesalahan yang biasa dilakukan: Pada perkataan ini terdapat hukum Mad Lazim Kalimi Musaqqal di mana huruf mad ( ﺃ ) bertemu dengan huruf bertasydid ( لّ ) dalam satu kalimah. Cara bacaannya ialah panjang 6 harakat. Namun kebiasaannya kesalahan di sini ialah ianya tidak baca dengan cukup 6 harakat.
Bacaan yang betul: Dibaca dengan 6 harakat.
Kesalahan yang biasa dilakukan: Huruf ل tidak disabdukan dengan betul lalu bacaan berbunyi “…walaoddoLiin”
Bacaan yang betul: “…walaoddoLLiin”
Kesimpulan
Terdapat 2 jenis kesalahan dalam pembacaan Al Quran iaitu اَللَّحْنُ الْجَلِيُّ (Al – Lahn Jaliy) dan اَللَّحْنُ الْخَفِيُّ (Al – Lahn Khafi).
Al – Lahn Jaliy merupakan kesalahan yang nyata iaitu kesalahan yang jelas dari segi bacaan dan sebutan sehingga mengubah makna dan maksud perkataan tersebut. Jika kita lihat kesalahan-kesalahan di dalam bacaan Al – Fatihah yang telah dikongsi dari Bahagian 1 hingga 3, kebanyakannya merupakan kesalahan makhraj. Maka perlu kita perbaiki bacaan kita kerana bimbang bacaan kita membawa makna yang lain.
Manakala Al – Lahn Khafi merupakan kesalahan halus iaitu kesalahan yang hanya diketahui oleh orang yang mempelajari ilmu Al Quran. Sebagai contoh mendengungkan bacaan yang tidak sepatutnya, memanjangkan atau memendekkan sesetengah kalimah yang bukan tempatnya dan sebagainya. Ianya merupakan kesalahan pada hukum tajwid yang tidak mengubah makna ayat. Namun, kita masih perlu memantapkan lagi ilmu tajwid kita agar bacaan menjadi lebih indah.
Bacaan yang betul ketika membaca Al Quran merupakan satu ilmu yang tidak boleh kita ambil ringan kerana kita sedang membaca ‘surat cinta’ daripada Allah. Walaupun kita sudah tahu cara bacaan yang betul, jangan pula kita lalai untuk mengamalkannya kerana Al Quran akan menjadi pembantu kita suatu hari nanti. Jika anda ingin memantapkan makhraj dan cara bacaan anda, tekan link di bawah “Nak Belajar Ngaji” untuk dibantu.