Skip to content

Ayatul Kursi: Shortcut ke Syurga

Loading

Ayatul Kursi atau lebih mesra dengan panggilan Ayat Kursi merupakan antara surah yang awal-awal diwajibkan untuk kita hafal masa sekolah rendah dan menengah dulu. Kalau masuk pertandingan hafazan pun mesti surah ni ada dalam senarai juga. Namun, pernahkan kita tahu mengapa kita digalakkan untuk mengamalkan surah ini, sehinggakan pihak kementerian pelajaran Malaysia mewajibkan surah ini untuk ada di dalam silibus? Teruskan membaca posting kali ini untuk ketahui lebih lanjut.

Pengenalan

Ayat ini merupakan ayat yang ke 255 dalam Surah Al – Baqarah. Ianya diturunkan pada suatu malam selepas Hijrah. Ketika ayat agung ini diturunkan, beribu-ribu malaikat menjadi pengiringnya kerana kebesaran serta kemuliaannya. Justeru itu, Nabi Muhammad SAW segera meminta Zaid bin Thabit iaitu seorang penulis Al Quran untuk segera menulis ayat tersebut untuk disebarkan. Ketika ayat ini diturunkan, syaitan dan iblis menjadi takut kerana kini adanya sesuatu ayat yang menjadi penghalang dalam menjalankan misi mereka.

Ayatul Kursi diiktiraf oleh Rasulullah SAW sebagai salah satu surah yang teragung. Ini kerana di dalam ayat tersebut terdapat perkataan Kursi yang bermaksud kedudukan yang megah dan memiliki martabat yang tertinggi. Ia menunjukkan kebesaran Allah SWT yang menguasai tujuh lapis langit serta tujuh lapis bumi. Bukti Nabi mengiktiraf ayat ini dapat dilihat melalui sabda Rasulullah SAW :

“Wahai Abu al-Munzir (gelaran bagi Ubai), apakah ayat yang paling agung di dalam Al Quran?”

Ubai lalu membaca permulaan Ayatul Kursi. Rasulullah lalu memegang dada Ubai dan memujinya:

“Bergembiralah (tahniah kepadamu) dengan ilmu (yang ada padamu) wahai Abu al-Munzir.”

(HR Muslim)

Terdapat 95 buah hadis yang menerangkan kebaikan-kebaikan ayat Kursi. Peringatan mesra di sini, Kursi yang dimaksudkan di dalam ayat ini tidak merujuk kepada tempat duduk Tuhan, akan tetapi KURSI itu adalah syiar atas kebesaran Allah SWT. Mari kita lihat beberapa hadis yang berkenaan dengan ayat ini.

Ganjaran dan Kebaikan Ayatul Kursi

  1. Shortcut ke Syurga

Rasulullah mendidik para sahabat untuk sentiasa mengamalkan bacaan ayat Kursi setiap kali selesai menunaikan solat. Ini dapat dibuktikan melalui :

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلا الْمَوْتُ

“Barangsiapa yang membaca ayat Kursi setiap kali selesai dari solat fardhu, maka tidak ada perkara yang akan menghalangnya untuk masuk ke syurga melainkan kematian. (Iaitu hanya kematiannya sahaja yang menghalangnya, setelah mati, dia akan mudah ke syurga).”

HR al Nasa’i dan al Tabarani, dinilai Sahih oleh al-Albani.

  1. Digeruni oleh syaitan

Menurut Saidina Abu Hurairah dalam Riwayat Al Bukhari, syaitan tidak akan berani mendekati mereka yang membaca ayat Kursi sebelum tidur. Bahkan rumah yang ada dibaca ayat Kursi akan digeruni oleh syaitan seperti yang telah dijelaskan di dalam hadith :

فإنه لا يقرأها أحد إذا دخل بيته إلا خرج الشيطان

“Sesungguhnya, seorang yang membaca ayat Kursi setiap kali masuk ke rumahnya, maka syaitan akan keluar dari rumah tersebut.” (Tafsir Ibn Kathir)

  1. Dipelihara dan diangkat darjatnya
  • Dari Anas bin Malik RA berkata:

“Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang dari umatku membaca ayat Kursi sebanyak 12 kali, kemudian dia berwuduk dan mengerjakan solat Subuh, nescaya Allah akan menjaganya dari kejahatan syaitan dan darjatnya sama dengan orang yang membaca seluruh Al Quran sebanyak 3 kali. Dan pada hari kiamat, ia akan diberi mahkota cahaya yang menyinari semua penghuni dunia.”

Kemudian Anas bin Malik berkata:

“Ya Rasulullah, apakah itu perlu dibaca setiap hari?”

Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak, cukuplah membacanya pada setiap hari Jumaat.”

  • Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian bewudhuk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar.”

  • Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan.”

  1. Disayangi dan dikasihi oleh Allah SWT

Tidak hairan jika mereka yang melazimi ayatul Kursi ini dipelihara dan disayangi oleh Allah SWT. Ini kerana seperti yang telah dinyatakan pada pengenalan, ayat Kursi menceritakan tentang keagungan Allah SWT. Allah suka jika hamba-hambanya memuji-muji kebesaranNya. Ini dapat dilihat dari sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara oleh Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad.”

Kesimpulan

Terdapat banyak lagi hadis yang menceritakan tentang kebaikan-kebaikan yang bakal diperolehi oleh seseorang sekiranya dia melazimi ayat Kursi. Kebaikan-kebaikan tersebut pula bukan sahaja dapat kita rasai di dunia, malah di akhirat juga in Shaa Allah. Sama-sama lah kita beramal dengan ayat ini dan cuba untuk jadikannya sebagai amalan harian.

Jika anda ingin memperbaiki tajwid dan bacaan Al Quran anda, jangan segan silu untuk menyertai kelas mengaji dengan Kaedah Haraki yang mudah dan santai. Dah ramai dah yang kami bantu. Anda bila lagi? Tekan link di bawah (Kelas Online Haraki) untuk maklumat lanjut:

Share:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Print
Pengetahuan

Aktiviti & Artikel Terbaru

Daftar dan terus belajar Kaedah Haraki