Skip to content

As Sajadah: Mengapa Syaitan Menangis Jika Kita Membacanya?

Loading

Surah As Sajadah merupakan surah yang ke 32 di dalam Al Quran. Surah yang mengandungi 30 ayat ini diturunkan di Mekah. Surah ini digelar As Sajadah kerana terdapat ayat sajadah di mana jika bertemu ayat sebegini kita disunatkan untuk melakukan Sujud Tilawah.

Selain daripada Al Mulk, surah As Sajadah juga akan dibaca oleh Rasulullah SAW sebelum baginda masuk tidur. Ini dapat dibuktikan melalui Jabir RA, beliau berkata:

“Nabi Muhammad SAW tidak akan tidur sehingga baginda membaca surah As Sajadah dan Al Mulk.”

(HR Ahmad, Tirmidzi, An-Nasa’i, Al Hakim)

Namun selain daripada itu, tahukah anda sekiranya kita membaca surah ini, syaitan akan meratap dan menangis? Teruskan membaca posting ini untuk  mengetahui apakah sebabnya dan membaca kelebihan-kelebihan yang lain.

Memberi Syafaat

Tidakkah kita mahu untuk mendapat syafaat di akhirat kelak? Kita tidak akan pernah tahu apalah nasib kita di sana nanti. Kita boleh lakukan yang terbaik untuk mengumpul saham akhirat akan tetapi kita tidak akan pernah tahu apa pengakhiran kita. Jika kita mengamalkan bacaan Surah As Sajadah, surah ini akan memohon untuk memberi syafaat kepada kita. Ini boleh dibuktikan melalui hadis di bawah:

Khalid bin Ma’dan RA berkata:

“Bacalah Surah Almunjiah (yang menyelamatkan) iaitu Surah As Sajadah, kerana saya mendapat keterangan bahawa ada seseorang yang biasa membacanya dan tidak membaca yang lain-lainnya, sedangkan ia banyak berdosa. Tiba-tiba surah ini menghamparkan sayapnya dan berkata: “Ya Rabbi, ampunilah orang ini kerana dia selalu membacaku, maka Allah menerima pembelaan (syafaat) darinya (surah tersebut) dan berfirman: Tulislah untuk hamba-Ku itu ditempat tiap dosa (gantikan) dengan kebaikkan dan naikkan darjatnya.”

HR Addarimi

Menerusi cerita di atas, diterangkan bahawa ada seorang hamba yang sering membaca surah As Sajadah tetapi tidak membaca surah-surah yang lain. Orang di dalam cerita ini juga banyak melakukan dosa namun pada hari perhitungan, datang surah As Sajadah kepadanya seraya memohon kepada Allah SWT untuk mengampunkan insan tadi. Lalu Allah SWT memberikan pengampunan kepada insan tersebut.

Dalam riwayat lain, surah ini dikatakan akan membela orang yang membacanya di dalam kubur nanti. Ketika itu surah itu akan berkata: “Ya Allah, jika aku benar-benar dari kitab-Mu, maka berilah padaku kesempatan memberi syafaat kepadanya, jika tidak maka hapuskanlah aku dari kitab-Mu.” Dan ia (surah itu) berupa burung yang menghamparkan sayapnya, membela dan melindungi dari siksa kubur.

Dapat kita lihat betapa gigihnya surah ini membela orang yang membacanya. Adakah kita mahu lepaskan peluang ini?

Diiringi Cahaya

Diriwayatkan dari Aban bin Abi Ayyasy, dia menceritakan:

“Ketika kami hadir matinya Muwarriq Al’ajali dan ketika dia telah ditutup oleh kain, kami berkata: “Dia telah mati, tiba-tiba kami melihat cahaya memancar dari arah kepalanya sehingga menembus atap rumah. Kemudian kami melihat cahaya yang memancar dari kakinya seperti itu, kemudian kami melihat cahaya yang lebih terang memancar dari perutnya, kemudian dia membuka tutup kainnya itu dan bertanya kepada kami: “Apakah kalian melihat sesuatu?” Kami menjawab “Ya”, lalu kami menceritakan semua yang kami lihat itu. Lalu dia berkata: “Itu surah As Sajadah yang saya baca tiap malam, sedang di atas (cahaya dari kepala) itu 14 ayat dari permulaannya, dan yang di kaki itu 14 ayat dari akhirnmya, sedang yang ditengah itu ayat As Sajadah sendiri, ia naik untuk memberikan syafaat kepadaku, sedang surah Tabaarak (Al Mulk) masih tetap menjagaku. Kemudian ia mati kembali.”

Dari kitab: Irsyadul ‘ibad ilasabilirrasyad

Dari kisah penceritaan di atas, dapat kita ketahui bahawasanya mereka yang mengamalkan bacaan Surah As Sajadah diiringi cahaya di saat kematiannya. Cahaya itu hadir kerana surah itu dibaca pada waktu malam dan ianya dijadikan sebagai amalan.

Amalan Rasulullah SAW

Seperti yang kita sedia maklum, sekiranya kita mengikut amalan Rasulullah SAW kita akan mendapat pahala. Sesungguhnya setiap perkara yang Rasulullah lakukan tidak mendatangkan mudharat, malah tersimpan segala kebaikan secara tersurat mahupun tersirat. Ibnu Abbad RA berkata:

“Bahawa Rasulullah SAW biasa membaca dalam solat Subuh hari Jumaat pada rakaat pertama sesudah Fatihah adalah As Sajadah. Dan pada rakaat kedua sesudah Fatihah adalah surah Al Insaan.”

HR Muslim

Selain daripada itu, Jabir RA berkata ”Biasa Nabi SAW tidak tidur sehingga membaca surah As Sajadah dan Al Mulk.”

HR Ahmad, Tirmidzi,  An Nasa’i, Al Hakim

Syaitan Menangis

Kisah ini diceritakan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Bila seorang anak Adam membaca surah As Sajadah kemudian ia bersujud, maka pergilah syaitan menepi seraya menangis dan berkata, “Betapa celakanya aku! Anak Adam diperintah untuk bersujud, ia pun bersujud, maka ia mendapatkan syurga, sedangkan aku diperintah untuk bersujud, aku pun enggan, maka aku mendapatkan neraka.”

HR Abu Dawud, Nasa’i’l, Ibnu Majah, Ahmad, Muslim

Menerusi hadis di atas ketika kita membaca surah As Sajadah dan melakukan sujud tilawah/solat, syaitan menangis kerana sedar betapa celakanya dirinya kerana enggan sujud, dan akibatnya syaitan akan menjadi penghuni neraka.

Kesimpulan

Berdasarkan perkongsian di atas, kita sudah ketahui kelebihan-kelebihan membaca surah As Sajadah. Betapa seronoknya jika kita dibela habis-habisan sehingga dosa kita diampunkan. Jadi marilah kita sama-sama mengamalkan bacaan surah ini. Boleh ikuti FB Page kami – Laman Rasmi Kaedah Haraki HQ kerana setiap hari Jumaat (in Shaa Allah) ada bacaan As Sajadah bersama-sama dengan Ustaz Zakaria jam 10.45 malam. Tekan link di bawah untuk ke FB Page kami.

Share:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Print
Pengetahuan

Aktiviti & Artikel Terbaru

Daftar dan terus belajar Kaedah Haraki