Sebagai seorang Muslim, mungkin pernah mendengar zikir ‘Hasbunallah wanikmal wakil nikmal maula wanikman nasir’. Bacaan ini mungkin dilihat biasa, namun di dalamnya tersimpan maksud yang luar biasa.
Dalam al-Quran, zikir ‘Hasbunallah wanikmal wakil nikmal maula wanikman nasir’ terdapat dalam Surah Ali Imran ayat 173 yang bermaksud:
Dan mereka menjawab, “Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung.”
Serta dalam Surah Al Anfal ayat 40 yang bermaksud:
“Dan jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah pelindungmu. Dia adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.”
Maksud ayat dalam surah-surah tersebut menunjukkan bahawa kepada Allah SWT sahaja tempat kita berserah diri dan tiada apa yang lebih berkuasa selain Dia. Zikir ini mungkin kelihatan ringkas dan pendek, namun ia mempunyai kelebihan yang baik buat individu yang mengamalkan bacaan ini.
Setiap insan di muka bumi ini pasti akan merasakan suka dan duka yang bersilih ganti. Perasaan sedih, gelisah, tertekan, marah pasti akan datang selagi mana kita hidup didunia ini. Dengan ketaatan kepada Allah SWT pasti semua perkara yang buruk dan tidak baik akan dapat diatasi tanpa sebarang masalah.
Apabila mengamalkan dan sering membaca zikir ‘Hasbunallah wanikmal wakil nikmal maula wanikman nasir’ sudah pasti diri akan dekat dengan Allah SWT dan diri kita akan terhindar daripada perkara-perkara buruk yang akan berlaku serta dapat menghindari segala kejahatan dan kemungkaran yang dilarang oleh Allah SWT.
Menurut sebuah hadis Sahabat Abdullah Bin ‘Abbas pernah menyatakan bahawasanya:
‘Hasbunallah Wanikmal Wakil’ adalah satu doa yang dipanjatkan oleh Nabi Ibrahim AS sewaktu beliau akan dilemparkan ke dalam satu unggun api yang panas dan membara.”
Begitu juga dengan Nabi Muhammad SAW mengatakan bahawa zikir ini adalah salah satu daripada bacaan zikir yang kerapkali diamalkan oleh para Nabi dan ulama-ulama dalam apa keadaan sekalipun samada ketika senang, menghadapi cubaan atau sebarang fitnah yang teruk.
Kelebihan Zikir
- Tenteramkan hati
Membaca zikir ini akan membuatkan hati kita menjadi lebih tenang dan tenteram. Hati yang sedih, jiwa kacau akan segera hilang.
2. Meningkatkan keimanan
Iman adalah keyakinan dan kepercayaan yang teguh terhadap Allah SWT, rasul, kitab dan sebagainya. Amalan membaca zikir akan meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.
3. Meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT
Tawakal adalah bentuk berserah sepasrah-pasrahnya dan percaya sepenuh hati kepada Allah SWT. Membaca zikir ini sebanyak mungkin maka akan meningkatkan keyakinan dimana satu-satunya tempat kita bergantung adalah Allah SWT.