Bulan Ramadhan, Al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan Hadis Rasulullah S.A.W di antaranya firman Allah SWT
“Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr: 1-3)
Sabda Rasulullah SAW “Sesiapa yang solat isyak berjemaah, maka seolah-olah dia telah berqiamullail separuh malam; Dan sesiapa yang solat subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersolat sepanjang malam.” (Hadis Sahih Riwayat Imam Tarmizi, Ibnu Majah dan Nasai)
Amalan Semasa Malam Lailatulqadar :
1. Menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadah solat serta membaca Al-Quran. Malam Lailatulqadar malam turunnya al-Quran. Daripada Abu Hurairoh sesungguhnya Rasulullah SAW telah berkata yang bermaksud: “Sesiapa yang bangun malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan perhitungan (muhasabah diri), akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.
2. Membangunkan ahli keluarga seperti mana yang dilakukan oleh baginda Rasulullah. Daripada Aisyah: Adalah Rasulullah jika masuk pada malam 10 malam terakhir, maka ia akan menghidupkan malam-malam itu dan membangunkan ahli keluarganya dan akan menjauhi daripada membuat hubungan suami isteri.
3. Beriktikaf di dalam masjid dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah seperti solat, zikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Ini kerana baginda Rasulullah akan beriktikaf ketika mana masuk 10 malam yang terakhir.
4. Berdoa kepada Allah dengan meminta keampunan-Nya. Aishah pernah bertanya baginda Rasulullah apa yang perlu dikatakan pada malam Lailatul Qadar, maka kata Baginda: “Katakanlah, Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Engkau Maha Mulia dan suka kepada pengampunan maka ampunilah aku.
5. Bersedekah dengan keikhlasan kepada Allah. Ini kerana jika sedekah yang dilakukan itu bertepatan dengan malam Lailatul Qadar maka amalan sedekah itu juga akan dilipatgandakan lebih baik dari 1,000 bulan.
No comment yet, add your voice below!