Surah Al Mulk merupakan surah yang ke 67 di dalam Al Quran. Ia diturunkan di Mekah dan mengandungi 30 ayat. Al Mulk merupakan perkataan Arab yang bermaksud kerajaan. Manakala perkataan “At Tabaarak” yang terdapat di dalam ayat pertama surah ini bermakna “Maha Suci”.
Dari Jabir RA – “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak akan tidur sehingga baginda membaca Surah As-Sajadah dan Al-Mulk”. Tapi, mengapa? Apakah keistimewaan surah ini sehinggakan baginda tidak akan tidur selagi belum membacanya? Teruskan membaca posting hari ini untuk ketahui lebih lanjut.
Terselamat daripada seksaan kubur
Info ini sudah pastinya tidak asing lagi dengan Surah Al Mulk. Kebanyakan daripada kita sudah tahu ini merupakan pengetahuan am yang berkaitan dengan surah ini.
Ada satu kisah di mana orang yang sudah mati berada di dalam kubur didatangi malaikat untuk diazab. Ketika malaikat berada pada sisi kakinya, kakinya berkata “Kamu tidak dapat hampir dari sisi kakiku kerana orang ini pernah berdiri di dalam solat dan membaca Surah Al – Mulk.”
Lalu malaikat menghampiri sisi dada (hati) dan perut, namun masih juga dihalang. Kemudian malaikat menghampiri pula sisi kepalanya. Setiap sendi tubuh badan sudah dihampiri namun mendapat halangan yang sama, lalu sendi-sendi itu berkata; “Kamu tidak dapat datang dari arah ini kerana orang ini selalu membaca Surah Al – Mulk.”
Daripada kisah ini, jelas menunjukkan bahawasanya surah ini dapat menyelamatkan kita daripada azab kubur. Terdapat beberapa hadis lain yang menyokong hujah ini, antaranya:
Rasulullah SAW bersabda:
“Surah Al – Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur.”
“Sesiapa yang membaca Surah Al – Mulk setiap malam, diselamatkannya dari azab kubur.”
“Sesiapa yang membaca Surah Al Mulk pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya surah itu sebagai pengganti untuk bersoal jawab dengan Munkar dan Nakir.”
“Sesungguhnya di dalam Al Quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat. Surah itu ialah surah Al Mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke dalam Syurga.”
Manakala Saiyidina ‘Abdullah bin Abbas berkata:
“Sesiapa yang membaca Surah Al Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah SWT di dalam kuburnya. Bila azab hendak datang ke kepala, terdengar satu seruan: “Tidak boleh engkau datang ke pihak kepala ini kerana ada Surah Al – Mulk.”
Mendapat Syafaat
Apa itu syafaat? Syafaat bermaksud pertolongan yang diberikan oleh seseorang kepada orang lain yang mengharapkan pertolongan daripadanya. Syafaat diberikan untuk mengelakkan seseorang itu daripada mendapat mudharat ataupun kesusahan. Surah Al – Mulk dikatakan dapat memberi syafaat kepada mereka yang membacanya. Ini dapat dibuktikan melalui hadis-hadis di bawah:
Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sesungguhnya di dalam Al Quran ada 30 ayat yang memberi syafaat kepada pembacanya sehingga diberi keampunan untuknya iaitu Surah Al – Mulk.”
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:
“Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat. Surah itu ialah Surah Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkan mereka dari Neraka dan memasukkan mereka ke dalam Syurga.”
Manakala para ulama berkata sesungguhnya Surah Al Mulk itu melepaskan pengamal-pengamalnya daripada diazab. Ia akan bersoal jawab pada hari Kiamat di hadapan Tuhan untuk menuntut pelepasan mereka dari azab api Neraka.
Mendapat Layanan Istimewa
Sesiapa saja menginginkan layanan istimewa, betul tak? Percaya tak jika kita mengamalkan bacaan Surah Al Mulk ini kita akan mendapat layanan istimewa bukan sahaja di akhirat, malah di dunia juga! Ini dapat dibuktikan melalui hadis di bawah:
Saiyidina Ali berkata: “Sesiapa yang mengamalkan Surah Al Mulk, nescaya dibawa ia pada hari Kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti Nabi Yusuf.”
Manakala para ulama pula berkata bahawa sesungguhnya terdapat beberapa rahsia serta kelebihan di dalam Surah Yaasin dah Surah Al Mulk. Maka sesiapa sahaja yang mengamalkannya pasti akan mendapat rahsia-rahsia serta kelebihan-kelebihan itu serta dikasihi oleh semua manusia dan juga menjadi hebat pada pandangan makhluk.
Dalam kisah lain, Abdullah Ibnu Abbas menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Aku telah menemukan di dalam Al Quran sebuah surah 30 ayat, barangsiapa membacanya sebelum tidur, 30 perbuatan baik ditulis untuknya, 30 kesalahannya dihilangkan sehingga 30 darjah. Allah SWT menghantar malaikat untuk melebarkan sayapnya ke atas orangnya (orang yang membaca surah Al Mulk) dan melindungi dia dari segala-galanya sehingga dia bangun.”
Iman di dalam Hati
Ada beberapa hadis yang menceritakan tentang bagaimana Rasulullah SAW menginginkan umatnya untuk mengamalkan bacaan Al Mulk. Ini dapat dibuktikan melalui sabda-sabda Rasulullah SAW di bawah:
“Hatiku ingin supaya Surah Al Mulk berada di dalam hati setiap orang yang beriman.”
“Aku sungguh gembira sekiranya orang mukmin sentiasa membaca Surah Al Mulk sehinggga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya.”
Anas RA meriwayatkan sesiapa yang membaca Surah As Sajadah dan Surah Al Mulk di antara solat Maghrib dan Isya’ umpama mendirikan solat untuk sepanjang malam Lailatul-Qadar. Selain daripada itu, mereka yang membaca kedua-dua surah ini akan peroleh 70 kebaikan manakala 70 dosa-dosanya akan dihapuskan.
Kesimpulan
Berdasarkan perkongsian di atas, betapa banyaknya kelebihan yang kita dapat sekiranya kita mengamalkan bacaan surah Al Mulk. Bukan sahaja kita dapat merasai kebaikan di dunia, malah di akhirat juga. Paling seronok, surah Al Mulk dapat membantu kita di alam barzakh nanti, di mana satu tempat yang sangat menakutkan kerana kita tidak tahu apalah nasib kita di sana. Jadi marilah kita sama-sama mengamalkan bacaan surah ini. Boleh ikuti FB Page kami – Laman Rasmi Kaedah Haraki HQ kerana setiap hari ada bacaan Al Mulk bersama-sama dengan Ustaz Zakaria jam 10.45 malam. Tekan link di bawah untuk ke FB Page kami.