Rasulullah SAW merupakan suri tauladan umat dalam segala aspek kehidupan. Begitu juga dalam urusan kesihatan.
Jadi sebagai seorang muslim yang patuh kepada sunnah Rasulullah SAW haruslah menukar rutin harian menjadi ibadah tidak seperti orang-orang yang lalai yang hanya tahu makan untuk memenuhi selera dengan beraneka makanan tanpa mengikut perintah Allah SWT.
Salah satu ajaran baginda adalah adab-adab makan yang membantu dari aspek penjagaan kesihatan.
1. Mulakan makan dengan menyebut bismillah
Dari ‘Aisyah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (yakni: ‘Bismillah’ ). Jika dia terlupa menyebut nama Allah pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwalahu wa akhirahu’ (Dengan nama Allah yang memulai dan yang mengakhiri). ” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi.)
2. Menggunakan tangan kanan
Dari Jabir r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan engkau makan dengan (tangan) kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan) kirinya.” (Hadis Riwayat Muslim)
3. Bermula makan dari tepi
Dari Ibn Abbas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: “Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi)
4. Digalakan menggunakan tiga jari.
Dari Ka’ab bin Malik r.a., “Aku melihat Rasulullah s.a.w. makan menggunakan tiga jari..(ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah)” (Hadith Riwayat Muslim)
5. Disunat memuji makanan
Dari Abu Hurairah r.a. berkata: “Tidak sekali-kali Rasulullah s.a.w mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
6. Mengutip makanan yang terjatuh dan menjilat jari setelah makan.
Dari Jabir r.a., Sabda Rasulullah s.a.w., “Apabila jatuh sebahagian (kecil) makanan seorang dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena kotoran dan makanlah ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan, dan jangan dia menyapu tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat keberkatan” (Hadis Riwayat Muslim)
7. Doa selepas makan
Dari Abi Umamah r.a., “Adalah Nabi s.a.w. apabila selesai makan menyebut, ‘Alhamdulillahi katsiran toyyiban mubarakan fih, ghaira makfiyyin wa la muwaddi’in’. wa la mustaghnan ‘anhu rabbana’ ” (Hadith Riwayat Bukhari)