Bagi seorang Muslim yang mukmin, surah Al-Fatihah sememangnya sudah menjadi surah yang tidak lekang dalam kehidupan seharian. Surah Al-Fatihah yang bermaksud pembukaan ini bukan sahaja menjadi keutamaan buat umat Islam melafazkannya pada setiap kali sembahyang fardhu malah turut menjadi surah pertama yang terkandung pada Al-Quran.
Menariknya, ayat daripada surah ini kerap kali dibedah oleh para guru dalam menjelaskan maksud yang ingin disampaikan menerusi surah yang mengandungi 7 ayat ini. Mula diajar seawal usia dan menjadi antara surah terawal yang diajar pada anak kecil dan juga di sekolah, agak tidak keterlaluan untuk mengatakan majoriti umat Islam di dunia ini menghafal surah ini.
Surah Al-Fatihah yang mudah dibaca dan dihafal ini nampaknya turut pelbagai hikmah buat mereka yang membaca dan mengamalkannya. Berikut merupakan 7 hikmah yang diperoleh buat seorang mukmin yang membaca surah pertama Al-Quran ini.
1. Mendapat pahala seperti membaca sepertiga Al Quran.
Seperti yang ramai sedia maklum, Al-Quran mengandungi 30 juzuk dan 604 muka surat. Hal ini membuatkan seseorang memerlukan tempoh yang panjang dalam menghabiskan membaca sebuah Al-Quran.
Dalam pada itu, nikmat yang diberikan Allah kepada umat Islam yang membaca Surah-Al Fatihah ini adalah pahala seakan membaca sepertiga Al-Quran. Hal ini turut menunjukkan betapa kasihnya Allah kepada umatnya dalam membolehkan umatnya memperoleh pahala yang banyak dengan hanya membaca surah yang sangat mudah untuk dibacakan dan dapat diselesaikan dalam masa yang singkat ini.
2. Setiap satu ayat dari Al-Fatihah menjadi penutup satu pintu neraka.
Bukan sahaja mengandungi ayat yang pendek, hikmah membaca surah Al-Fatihah ini adalah surah ini turut menjadi asbab menutup satu pintu neraka bagi setiap satu ayat yang dibaca.
Seperti yang ramai sedia maklum, manusia sememangnya tidak dapat lari daripada kesilapan. Hal ini secara tidak langsung mendedahkan kelemahan diri sebagai manusia yang tidak terlepas daripada melakukan dosa.
Membaca surah Al-Fatihah telah dijanjikan Allah dalam menutup satu pintu neraka buat pembacanya sekaligus meningkatkan peluang seorang mukmin dalam memasuki syurga atas izin Allah.
3. Seolah-olah telah sedekahkan emas di jalan Allah SWT
Sebuah lagi kebesaran surat Al-Fatihah dan kasih Allah kepada umatnya adalah Allah memberi ganjaran yang sangat besar kepada umatnya seolah-olah sedekahkan emas di jalan Allah SWT dengan hanya membaca Al-Fatihah sahaja.
4. Memudahkan memperoleh ilmu pengetahuan serta membersihkan hati dan fikiran
Membaca Al-Fatihah turut boleh dijadikan amalan dalam memudahkan seseorang memperoleh ilmu pengetahun dalam membersihkan hati dari fikiran yang rosak dan terpesong.
Cara-caranya adalah dengan membaca surah Al-Fatihah sebanyak 70 kali setiap hari dalam keadaan berwudhu lalu ditiupkan pada air untuk diminum selama tujuh hari. Nescaya seseorang itu akan mudah untuk menerima ilmu pengetahuan serta mempunyai hati yang lapang dalam menerima buah fikiran yang baik.
5. Memakbulkan hajat seseorang
Surah yang mudah dibaca ini turut disyorkan ulama buat mereka yang mempunyai sesuatu hajat yang ingin dikabulkan. Caranya adalah dengan membaca Surah Al-Fatihah sebanyak 40 kali setiap kali selepas selesai solat Maghrib dan solat sunat.
6. Pembuka pintu rezeki
Surah ini turut menjadi amalan buat mereka yang mahu pintu rezekinya dibuka dengan luas dan dipermudahkan segala urusan hidup serta terhindar daripada segala kesulitan. Amalan yang diajar adalah dengan membaca Surah Al-Fatihah sebanyak 41 kali sewaktu makan sahur. Atas izin Allah, rezeki individu yang mengamalkannya akan dipermudahkan Allah.
7. Mengelakkan daripada sebarang gangguan sewaktu tidur
Khusus buat mereka yang mahu mengelakkan daripada diganggu sewaktu tidur dan ancaman mimpi buruk, disarankan untuk membaca Surah Al-Fatihah sebanyak satu kali sewaktu hendak tidur, diikuti dengan Surah Al-Ikhlas sebanyak 3 kali dan Surah Al-Falaq serta Surah An-Nas sebanyak 1 kali sebelum tidur. Nescaya individu tersebut akan terpelihara dan selamat daripada segala perkara dan ancaman seperti mimpi buruk, gangguan syaitan, kecurian, kebakaran dan malapetaka, selain daripada ajal.
Surah al-Fatihah ini melengkapi unsur-unsur pokok syariat Islam, kemudian dijelaskan perinciannya oleh ayat-ayat al-Quran yang 113 surah berikutnya. Persesuaian surah ini dengan surat al-Baqarah dan surah-surah sesudahnya ialah surah al-Fatihah merupakan titik-titik pembahasan yang akan diperinci dalam surah al-Baqarah dan surah-surah yang sesudahnya.
Di bahagian akhir surah al-Fatihah disebutkan mengenai permohonan hamba supaya diberi petunjuk oleh Tuhan ke jalan yang lurus, sedang surah al-Baqarah dimulai dengan petunjuk al-Kitab (al-Quran) yang cukup sempurna sebagai pedoman menuju jalan yang dimaksudkan itu.
Nak baiki bacaan Quran dengan Mudah tanpa perlu keluar rumah ? Jom sertai Kelas Online Haraki dan anda akan dibimbing satu per satu oleh ustaz/ustazah profesional Kaedah Haraki !
Tekan link dibawah (Kelas Online Haraki) untuk dapatkan info segera !