Sebagai hamba Allah kita perlu menzahirkan rasa syukur dengan setiap kurniaan dari Allah S.W.T. Rasa syukur ini tidak akan datang dengan sendirinya dalam diri manusia biasa kerana rasa syukur ini perlu dipelajari dan dibentuk dalam diri setiap manusia. Allah S.W.T telah menjanjikan kepada kita semakin kita bersyukur kepada Allah S.W.T, maka semakin banyak nikmat dan anugerah yang akan dikurniakan kepada kita. Oleh yang demikian, sangatlah penting untuk kita sebagai umat islam sentiasa bersyukur dengan apa jua nikmat dan pemberian Allah S.W.T. Sebagai contoh, kita bersyukur dengan melihat orang yang lebih bawah atau yang lebih susah daripada kehidupan kita. Dalam kehidupan ini, terlalu banyak benda yang boleh kita syukuri dari sekecil-kecil kuman kepada sebesar-besar alam seperti dapat menghirup udara segar setiap hari juga satu nikmat yang patut disyukuri.
1) Bersyukur dengan hati
Membawa maksud kita perlu mengakui dan percaya didalam hati bahawa segala nikmat yang dikecapi adalah pemberian daripada Allah SWT. Apabila seseorang manusia itu bersyukur didalam hati ini bermaksud mereka menerima setiap pemberian dan kurniaan yang diberikan oleh Allah S.W.T dengan hati yang ikhlas tanpa rasa kecewa dan sedih meskipun kurniaan tersebut dalam sekecil-kecil bentuk.
2) Bersyukur dengan lisan
Bersyukur dengan lisan merupakan satu bentuk syukur yang dizahirkan melalui zikir atau ucapan “Alhamdulillah”. Perkataan “Alhamdulillah” merupakan perkataan Arab yang juga dikenali sebagai Tahmid. Perkataan ini membawa maksud segala pujian hanya untuk Allah atau ungkapan syukur atas nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T. Selain itu, sebutkan “Alhamdulillah alaa kulli haal” yang bermaksud segala puji Allah dalam segala situasi. Hati yang sering ikhlas dan bersyukur dengan segala bentuk pemberian daripada Allah S.W.T secara automatiknya akan selalu mengucapkan “Ahamdulillah” kerana ini merupakan satu tanda rasa syukur.
3) Bersyukur dengan perbuatan
Membawa maksud perkara atau perbuatan yang dilakukan oleh tubuh badan fizikal yang membawa kepada kebaikan. Perbuatan yang dilakukan sebagai tanda syukur ini bukan sahaja memberi impak yang positif kepada diri sendiri, malah keluarga dan seluruh alam juga mendapat manfaatnya. Antara amalan tanda syukur umat islam kepada nikmat Allah ialah dengan melakukan sujud syukur. Selain itu juga boleh menambah dengan melakukan solat sunat dan melakukan segala kebaikan kepada manusia lain yang merupakan tanda syukur kita dengan nikmat kehidupan yang diberikan oleh Allah.