Skip to content

3 Amalan Untuk Mendapat Syafaat Nabi di Padang Mahsyar

Loading

Syafaat ditakrifkan sebagai kelebihan yang dikurniakan Allah kepada baginda Rasulullah SAW untuk menolong umatnya di padang mahsyar ketika hari kiamat kelak.

Allah mengangkat darjat baginda bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat nanti dengan Allah mengizinkan Rasulullah memberi syafaat kepada umatnya yang layak.

Sebagai umat Nabi Muhammad kita pasti berasa gembira dengan perkhabaran ini. Ini kerana baginda tidak pernah melupakan umatnya lebih-lebih lagi kita yang tidak hidup di zamannya dan sama sekali tidak pernah melihat baginda Rasulullah.

Persoalannya sekarang bagaimana kita mahu mendapat syafaat baginda nanti? Adakah hanya dengan gelaran umat Muhammad melayakkan kita mendapat syafaat daripada Rasulullah?

Di sini, kami akan ceritakan 3 amalan untuk mendapat syafaat nabi di padang Mahsyar :

1. Doa selepas azan

Ramai dalam kalangan kita yang alpa dengan doa selepas azan. Ini kerana kesibukan kita dalam urusan dunia sehingga menjadikan kita lupa akan kepentingan doa selepas berkumandangnya azan. Sabda baginda Rasulullah:

Barang siapa berdoa setelah mendengar azan:

ALLAHUMMA RABBA HAADZIHID DA’WATIT TAMMAH WASHSHALAATIL QAA’IMAH. AATI MUHAMMADANIL WASIILATA WALFADLIILATA WAB’ATSHU MAQAAMAM MAHMUUDANIL LADZII WA’ADTAH

Yang bermaksud:

Ya Allah. Tuhan Pemilik seruan yang sempurna ini, dan pemilik solat yang akan didirikan ini, berikanlah wasilah (kedudukan yang tinggi di syurga) dan keutamaan kepada Muhammad. Bangkitkanlah dia pada kedudukan yang terpuji sebagaimana Engkau telah janjikan). Maka ia berhak mendapatkan syafaatku pada hari kiamat. – [HR Bukhari]

2. Perbanyakkan sujud

Semakin banyak seseorang itu sujud kepada Allah maka makin mudah untuk mendapat syafaat baginda Rasulullah.

Ini kerana apabila kita sujud kepada Allah maka Allah akan kasih dan cinta kepada kita dan Allah akan makbulkan segala permintaan yang kita hajatkan.

Sabda Rasulullah:

Dari Rabi’ah bin Ka’ab al Aslami beliau berkata:

Aku pernah tinggal bersama Rasullullah, maka aku pun membawakan air wuduk dan keperluan baginda yang lain, maka baginda pun bersabda: Mintalah apa yang kamu inginkan, maka aku katakan: Aku minta agar boleh menemanimu di syurga. Baginda Rasulullah pun kembali bertanya: Ada yang lain dari itu? Maka aku katakan: Hanya itu saja, maka Baginda Rasulullah pun bersabda: Kalau begitu, maka bantulah saya (agar Allah memakbulkan permintaan) dengan memperbanyakkan sujud. – [HR Muslim].

3. Perbanyakkan selawat ke atas Baginda

Sudah pasti orang yang kita sayang dan cinta akan selalu disebut-sebut di bibir kita. Kita tidak akan sama sekali melupai walaupun sedetik dek kerana cinta yang membara.

Begitu jugalah kasih sayang kita kepada junjungan besar baginda Rasulullah. Berapa banyakkah nama baginda Rasulullah meniti di bibir kita dalam sehari?

Sabda Rasulullah: Orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat adalah yang paling banyak berselawat keatasku. – [HR Tarmizi].

Jika Allah dan malaikat sentiasa berselawat ke atas baginda kenapa kita selaku umatnya tidak berselawat ke atas baginda Rasulullah? Maka persoalan ini perlulah ditanyakan kepada diri masing-masing.

Share:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Print
Pengetahuan

Aktiviti & Artikel Terbaru

Daftar dan terus belajar Kaedah Haraki