Solat Jumaat ialah solat fardu (dua rakaat) yang dilakukan pada hari Jumaat menggantikan solat Zohor, dan ia dilakukan secara berjemaah selepas mendengar Khutbah Jumaat. Solat Jumaat itu hukumnya Fardu Ain, iaitu wajib dikerjakan atas setiap mukallaf lelaki dengan syarat-syarat tertentu.
Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman (Lelaki dan perempuan)! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenarnya],” (Surah Al-Jumu’ah: 9)
Antara 10 Amalan Sunat Hari Jumaat :
- Memotong kuku
- Selain sebagai amalan sunat, memotong kuku juga dapat membersihkan tangan kerana kuku yang panjang boleh menyebabkan kekotoran terkumpul di celah-celah kuku.
- Lagikan pula, makan menggunakan tangan antara amalan Sunnah dan menjadi keperluan untuk kita menjaga kebersihan tangan bagi mengelakkan tangan yang kotor memasuk makanan ke dalam mulut.
- Mandi sunat
- Sunat mengelokkan rupa paras dan membersihkan anggota tubuh badan sebelum keluar solat seperti memendekkan atau mencukur misai, bulu ketiak, bulu pada kemaluan, menggosok gigi dan sebagainya.
- Membaca Surah al-Kahfi
- Membaca surah al-Kahfi ini antara surah yang menjadi pilihan kerana mempunyai pelbagai kelebihan yang boleh kita dapati, antaranya ialah dapat menghindarkan diri kita daripada fitnah Dajal dan pelbagai lagi.
- Tambahan pula, surah ini terdiri daripada kisah penduduk gua, pemilik dua kebun, Nabi Musa dan Nabi Khidir serta kisah Zul Qarnain yang mengandungi teladan dan pengajaran yang banyak.
- Perbanyakan bersedekah
- Sedekah antara amalan sunat yang dituntut dalam Islam kerana selain dapat menyucikan harta kita, harta yang diberi dapat membantu bagi mereka yang memerlukan dan mengeratkan hubungan sesama manusia.
- Memakai pakaian yang elok
- Memakai pakaian yang elok sangat dituntut terutamanya pada ketika hendak menunaikan solat. Tambahan pula, pakaian yang elok akan memperlihatkan identiti dan peribadi seseorang Muslim terhadap orang lain.
- Cukup sekadar memakai pakaian yang bersih dan nampak cantik. Tidak perlu sentiasa membeli pakaian baru sedangkan pakaian lama masih elok kerana takut berlaku pembaziran.
- Memakai wangi-wangian
- Memakai wangi-wangian antara amalan sunat yang digalakkan sebelum solat seperti bau di syurga juga adalah wangi.
- Akan tetapi, wangian yang dipakai hanya cukup sekadar keperluan kerana jika berlebihan dikuatiri akan menganggu jemaah lain yang turut sama menunaikan solat.
- Perbanyakkan Zikrullah dan Doa
- Berzikir dan berdoa tidak terhad ketika selepas solat sahaja, malah amalan ini juga sangat digalakkan ketika memulakan pekerjaan dan menyudahinya.
- Pada hari Jumaat terdapat waktu mustajab untuk berdoa berdasarkan pendapat majoriti ulama iaitu makbulnya doa yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua.
- Berselawat
- Setiap kali khutbah Jumaat, khatib akan mengingatkan para jemaah untuk berselawat ke atas Rasulullah kerana terdapat kelebihan berselawat dan juga salah satu tanda kecintaan kita kepadanya.
- Hadir awal ke Masjid
- Para jemaah digalakkan untuk hadir awal ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat dan mendapatkan saf pertama untuk solat berjemaah.
- Tambahan pula, apabila kita hadir awal ke masjid, kita boleh melakukan beberapa amalan sunat lain seperti berzikir, selawat dan membaca al-Quran sebelum menunaikan solat Jumaat.
- Perbanyakkan solat sunat
- Selain solat fardu yang diwajibkan, kita digalakkan untuk menunaikan solat-solat sunat seperti solat Dhuha dan solat sunat Rawatib.
- Digalakkan juga untuk bangun sepertiga malam untuk menunaikan solat sunat tahajud dan lain-lain bagi menambahkan amalan sebagai tanda kwtakwaan kita kepada Allah S.W.T.