Kenapa dalam banyak- banyak organ, kita perlu ubati hati?
KERANA SESUNGGUHNYA anggota tubuh yang diciptakan paling mulia dalam diri manusia ialah hati (kalbu). Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.” (Surah AnNahl, ayat 78). Allah SWT menyebut tiga perkataan ini dalam Al-Quran sebanyak 132 kali yang menggambarkan kepentingannya kepada manusia.
Sesungguhnya hati ibarat raja bagi anggota tubuh dan ketua dalam segala bentuk kehidupan manusia. Jika baik hati itu, maka baiklah kehidupan seseorang Mukmin tetapi jika buruk atau rosak hati itu, maka punah seluruh anggota tubuh dan kehidupan Mukmin. Memelihara hati bukan seperti memelihara anggota badan yang lain, merawat hati perlu kepada ketakwaan dan keampunan dari Allah SWT kerana hati yang selalu subur dengan mengingati Allah akan sentiasa terpelihara oleh rahmat Allah SWT.
Bercakap tentang ubati hati dengan al-Quran
Sebagai manusia biasa, hidup kita tidak terlepas daripada musibah, penyakit, kesedihan, kekecewaan dan pelbagai ujian lagi. Kadang-kadang adakalanya hidup kita begitu tertekan, hati merasa sempit, fikiran kacau, dada sesak, fikiran kusut dan tiada ketenangan. Tiada lagi kawan dan saudara yang mampu menolong dan meringankan beban yang dipikul, sehingga terfikirkan yang bukan-bukan, hatta untuk menamatkan hidup di dunia ini, nauzubillah.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, satu daripada tiga rakyat di negara ini mengalami tekanan jiwa, keresahan dan kemurungan.
Sebagai mukmin yang baik, janganlah berputus asa dengan masalah yang menimpa diri kita. Anggaplah ia sebagai ujian, penghapus dosa yang menyucikan diri dan penambah pahala. Berusaha dan berdoalah, Allah pasti akan membantu kita untuk mendapatkan jalan keluarnya. Mungkin hati sedang sakit, jiwa kosong, ibadat merosot, tiada hubungan langsung dengan Allah, seolah kita terlalu jauh dengan Tuhan.
Sebelum lebih parah, carilah penawar. Penawar hidup manusia sebenarnya ada pada Al-Quran. Al-Quran ialah kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan merupakan kitab terakhir yang diturunkan. Al-Quran sebagai panduan kehidupan seharian. Bacalah Al-Quran, kerana Al-Quran adalah penawar bagi hati yang sedang resah. Andai sakit, ia mampu menyembuhkan, andai keras, ia mampu melembutkan dan jika sempit, ia mampu melapangkannya insya’Allah.
Al-Quran itu bukan sahaja mengubati masalah hati tetapi ia juga benteng dan penyelesaian kepada masalah di dunia dan di akhirat. Sebagai contoh, orang yang gelisah, serabut fikiran dan perasaannya maka bacalah surah Yasin kerana itu adalah ubat kepadanya manakala individu yang mahu menjaga kediamannya atau memasuki rumah baharu pula perdengarkanlah bacaan surah al-Baqarah nescaya ia akan menjadi benteng daripada gangguan makhluk halus dan manusia berniat jahat.
Sekiranya hati sedih dan gelisah, ubatnya ada dalam Al-Quran. Jika ada penyakit dalam hati kita, ubatnya ada dalam Al-Quran. Jika kita sedang patah hati, ubatnya ada dalam Al-Quran. Jika merasakan seakan-akan dunia ini menghimpit diri, maka bacalah Al-Quran! Kerana Al-Quran adalah penawar hati dan pemberi ketenangan. Al-Quran bukan hanya sekadar ubat atau vitamin biasa, bahkan al-Quran seumpama multivitamin, super supplement, raja segala ubat kepada hati.
Oleh itu, marilah bersama-sama kita menjaga hati kita supaya sentiasa sihat, walaupun hati kita sering terganggu dengan masalah- masalah dunia yang boleh menyebabkan kita stress, depress. Sebaik-baik rawatan adalah dengan membaca al-Quran, solat atau berzikir. Ada satu pujangga bernama al-Hakim, beliau mengatakan “Sekiranya kamu rindu berbicara dengan Allah, maka bersolatlah..jika rindu mendengar Allah bicara maka bacalah Al-Quran. Untuk perkukuhkan lagi kesihatan kita basahkan bibir dengan tasbih, tasmid, tahlil dan takbir serta sentiasalah sebut nama Allah.
No comment yet, add your voice below!