Solat merupakan kewajipan bagi setiap muslim yang beragama islam. Di dalam rukun Islam, rukun yang kedua ialah mendirikan solat lima waktu. Solat merupakan tiang agama.
Imam Al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw bersabda: “Solat itu tiang agama. Sesiapa yang meninggalkannya, dia meruntuhkan agama.”
Nabi Muhammad SAW juga menyatakan perkara ini dalam sabdanya:
“Apakah amalan yang paling dicintai di sisi Allah SWT? Nabi menjawab; Solat pada waktunya”. Dia (perawi) bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda “berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Dia bertanya lagi kemudian apa, jawab baginda “Jihad pada jalan Allah SWT.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Kelebihan dan hikmah solat di awal waktu:
1. Mendapat Ketenangan Hati
Kehidupan yang tenang menjadi impian setiap orang. Islam juga mengajar bahawa ketenangan ditemui dalam mengingati Allah SWT dan solat adalah salah satu cara untuk mendapat ketenangan. Seperti yang dinyatakan dalam firman Allah,
“Dirikanlah solat untuk berzikir kepadaKu.” (Taha:14)
Zikir yang dilakukan dengan khusyuk akan memberi ketenangan kepada pengamalnya dan membantu meredakan masalah serta kekusutan.
2. Membentuk Disiplin Diri
“Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”(an-Nisaa:103)
Solat yang ditunaikan pada waktu tertentu dan mengikut tertib dapat melatih seseorang muslim untuk berdisiplin. Sifat ini dibawa pula dalam pengurusan jadual seharian dengan mengambil kira penjagaan masa dengan sebaiknya. Kesannya, setiap saat dirasakan sangat berharga dan tidak akan terbuang dengan perbuatan lagha atau sia-sia.
3. Mendapat Keampunan dan Keredhaan Allah SWT
Mendapat keampunan dan keredaan Allah SWT adalah matlamat utama dalam kehidupan setiap orang muslim.Tiada gunanya kesenangan pangkat dan kewangan jika tiada keredaan Allah SWT. Justeru, solat awal waktu merupakan cara meraih keampunan dan keredhaan Allah SWT. Allah SWT suka hambaNya merayu dan meminta kepadaNya. Selaras dengan firmanNya;
“Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Ghafir:60)
4. Segala Urusan Dipermudahkan
Setiap manusia inginkan setiap urusannya dipermudahkan dan diberkati Allah SWT. Apabila mendirikan solat di awal waktu, seseorang itu akan mulai sedar bahawa Allah SWT akan menjaga diri serta urusannya dengan cara yang paling baik.
5. Amalan Terpuji dan Terbaik
Solat awal waktu merupakan sebaik-baik amalan yang sangat digalakkan oleh Nabi dan para sahabat. Rasulullah SAW bersabda,
“Amalan apakah yang paling utama? Baginda menjawab: Solat pada awal waktu.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Apabila kita mendirikan solat awal waktu, secara tidak langsung kita telah mengikut amalan sunnah Rasulullah SAW yang merupakan suri tauladan umat.
No comment yet, add your voice below!