Kita selalu dengar dan sebut perkataan “selawat”. Tapi kita tahu ke makna perkataan tersebut? Pernah tak kita tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan “berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW?” Teruskan scroll posting kali ini untuk menambah ilmu tentang amalan yang sangat dituntut serta dijanjikan dengan berbagai-bagai kebaikan ni.
Pengenalan
Untuk ramai yang tak tahu, perkataan “selawat” diambil daripada perkataan “solat” yang membawa maksud “doa” dan juga “pujian”. Jika di dalam konteks yang mudah untuk difahami, selawat boleh diterjemahkan sebagai sebuah doa kepada Allah untuk kita meminta agar Alllah melimpahkan rahmat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.
Manakala berselawat KE ATAS Nabi Muhammad SAW bererti mengagungkan, memberi pujian, menambah kehormatan serta memartabatkan perjuangan baginda yang mulia dalam menyebarkan agama Islam. Selain daripada itu, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW juga difahamkan sebagai satu perbuatan yang menunjukkan bahawasanya seseorang itu sedang bersyukur terhadap Allah kerana menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan.
Hukum berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW ialah sunat, namun berubah menjadi wajib ketika dibaca di dalam solat sewaktu tahiyyat.
Selawat ke Atas Nabi Muhammad SAW
- Selawat umum ringkas
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Maksudnya: Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad.
Selawat umum ringkas ini merupakan antara ayat yang terawal kita kenali sejak dari kecil lagi. Sungguhpun ianya ringkas dan mudah untuk dihafal, namun ganjarannya terhadap kita tidak berkurang. Kita juga sering menyebut selawat ringkas ini sesudah kita mendengar seseorang menyebut “Muhammad SAW”.
- Selawat umum
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِّ الأُمِّيّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلم
Maksudnya: Ya Allah, berilah selawat kepada penghulu kami Muhammad,hamba-Mu dan utusan-Mu Nabi yang Ummi (tidak boleh membaca) dan kepada keluarga baginda dan sahabat baginda berserta sejahtera.
Selawat umum ini agak panjang sedikit daripada selawat ringkas sebentar tadi namun ianya masih membawa mesej yang sama iaitu memohon rahmat ke atas Nabi Muhammad SAW daripada Allah SWT.
- Selawat Ibrahimiyah
اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍٍ وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ كَمَا بَارِكَتْ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْد
Maksudnya: Ya Allah! Berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberi selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan berilah berkat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau memberi berkat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Di alam semesta ini hanya Engkau sahajalah Yang Maha Terpuji (Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.
Untuk pengetahuan, selawat yang afdhal adalah selawat Ibrahimiah (seperti yang dibaca ketika tahiyat akhir). Ini dapat dibuktikan melalui sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Barangsiapa yang membaca selawat ini (selawat Ibrahimiyah), maka aku bersaksi baginya di hari Kiamat dengan kesaksianku, dan aku akan memberi syafaat baginya,”
HR Bukhari.
Ganjaran dan Kebaikan Berselawat
- Diberi pahala yang berganda
Pasti ramai yang sudah tahu tentang perkara ini di mana orang yang berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW akan diberikan pahala yang berganda, malah mendapat keampunan dari Allah SWT. Ini dapat dibuktikan melalui:
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Barangsiapa yang mengucapkan selawat ke atasku 1 kali, maka Allah memberikan selawat kepadanya 10 kali.”
HR Muslim dari Abdullah bin Amr bin Ash.
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
“Siapa yang berselawat kepadaku 1 kali, maka Allah berselawat kepadanya 10 kali. Dan Allah menghapuskan 10 kesalahannya serta meninggikannya 10 darjat.”
HR Ahmad, Nasa’i dan Hakim.
- Mendapat syafaat
Bagi mendapat jaminan syafaat, daripada Nabi Muhammad SAW, berselawatlah sebanyak 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang. Amalan ini dapat dibuktikan melalui:
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi 10 kali dan pada waktu petang 10 kali, ia akan memperoleh syafaatku pada hari kiamat.”
HR Tabrani.
Jika ingin mengamalkan amalan ini, digalakkan untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW pada waktu Subuh dan juga Asar.
- Malaikat mendoakan agar dosanya diampunkan
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Barangsiapa berselawat ke atasku 1 kali, nescaya Allah berselawat 10 kali (iaitu Allah memberi rahmat ke atasnya 10 rahmat)”
Kemudian para sahabar bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Adakah yang demikian itu dengan kehadiran hati”
Baginda Rasulullah SAW menjawab dengan sabdanya:
“Tidak. Tetapi orang yang berselawat dengan hati yang lali juga diberikan rahmat oleh Allah seumpama bukit besarnya. Dengan hati yang lalai pun diberikan rahmat oleh Allah seumpama bukit besarnya dan para Malaikat memohon doa agar diampunkannya. Apabila disebutkan selawat itu dengan kehadiran hati, maka tidak diketahui betapa besarnya kadar kurniaan rahmat ke atasnya melainkan Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.”
Untuk pengetahuan anda, segala zikir tidak akan diberi pahala dan tidak akan diterima melainkan zikir tersebut disertai dengan kehadiran hati. Tetapi membaca al Quran dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW kedua-duanya diterima terus dan diberi pahala walaupun dilakukan tanpa kehadiran hati.
- Mendapat syurga
Orang yang sering berselawat ke atas ke atas Nabi Muhammad dijanjikan syafaat serta mendapat jaminan untuk syurga. Ini boleh dibuktikan melalui:
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Barangsiapa yang berselawat ke atasku 1000 kali, nescaya ia tidak mati sehinggalah dibawakan berita gembira mengenai Syurga untuknya.”
Sabda Nabi Muhammad SAW lagi:
“Barangsiapa yang berselawat ke atasku 1 kali nescaya Allah Ta’ala berselawat ke atasnya 10 kali. Barangsiapa berselawat ke atasku 10 kali, nescaya Allah berselawat ke atasnya 100 kali. Barangsiapa berselawat ke atasku 100 kali, nescaya Allah berselawat ke atasnya 1000 kali. Barangsiapa berselawat ke atasku 1000 kali, nescaya ia tidak disentuh api Neraka.”
Bukti yang seterusnya ialah melalui sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang melalaikan diri dari berselawat ke atasku, maka sesungguhnya ia tersalah jalan ke Syurga.”
Kesimpulan
Melalui posting kali ini, dapat kita lihat bahawasanya terlalu banyak kebaikan yang kita akan dapat sekiranya kita mengamalkan selawat. Rugi sekiranya kita buat tak tahu terhadap amalan ini. Sama-sama lah kita mendoakan diri sendiri agar sentiasa istiqamah dan konsisten dalam melakukan amalan yang mulia ini. In shaa Allah.