Kita sudah tahu serba sedikit mengenai kelahiran Nabi Muhammad SAW dalam “Maulidur Rasul: Bahagian 1” serta apa hukumnya menyambut Maulidur Rasul dalam “Maulidur Rasul: Bahagian 2”. Mari kita pelajari pula apakah amalan-amalan yang boleh dilakukan untuk menyambut kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.
Alhamdulillah tarikh 12 Rabiulawal merupakan tarikh cuti umum (untuk sesetengah kawasan dan syarikat). Jadi dapat lah kita sebagai umat Islam memanfaatkan cuti yang diberikan ini. Ini merupakan peluang keemasan yang diberikan kepada kita untuk benar-benar menghayati dan mensyukuri kelahiran baginda.
Berpuasa
Amalan ini mudah dan boleh dilakukan bersama-sama dengan ahli keluarga. Dapatlah kita bangun sahur bersama dan berbuka puasa bersama. Melalui riwayat dari Abu Qatadah, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai puasa pada hari Isnin lalu baginda menjawab:
“Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan al Quran ke atasku.”
HR Muslim
Hadis di atas jelas menunjukkan bahawasanya Nabi Muhammad SAW mensyukuri kelahiran baginda dengan berpuasa. Jadi kita sebagai umat baginda haruslah membuat perkara yang sama. Kita bukan sahaja mendapat ganjaran, malah kita dapat mengeratkan silaturrahim antara ahli keluarga kerana berpeluang bersahur dan berbuka puasa bersama-sama.
Mendengar tazkirah dan ceramah mengenai Sirah Nabi
Alangkah bagusnya jika kita memanfaatkan cuti yang diberikan dengan mengenali baginda Rasulullah SAW. Dengan cara ini kita bukan sahaja dapat mendalami dan memahami sejarah kehidupan baginda, malah kita dapat memupuk rasa kasih dan cinta terhadap kekasih Allah. Kepentingan untuk menyayangi Rasulullah SAW dapat dilihat melaui hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah aku menjadi orang yang paling disayanginya melebihi ahli keluarganya sendiri dan hartanya dan manusia keseluruhannya.”
HR Muslim
Oleh sebab itu, isi lah masa anda dengan kuliah dan ceramah yang menceritakan tentang Rasulullah SAW.
Berselawat ke atas Nabi
Berselawat ke atas Nabi bukan sahaja sebagai tanda kita ingat akan baginda, malah sebagai tanda kita mensyukuri kelahiran baginda Nabi Muhammad SAW kepada Allah SWT. Memperbanyakkan selawat bukan sahaja memberi ganjaran dan kebaikan yang dapat kita rasai didunia, malah di akhirat juga. Jika hari kebiasaan kita mampu untuk berselawat sebanyak 100 kali, mungkin pada hari istimewa iaitu hari kelahiran baginda kita boleh lebihkan sedikit supaya penghayatan ke atas kelahiran baginda dapat dirasai. Dalam sebuah sabda baginda berbunyi:
“Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah SWT berselawat ke atasnya 10 kali.”
Adakah kita mahu melepaskan ganjaran besar ini?
Kesimpulan
Setelah kita ketahui hukum menyambut maulidur rasul (iaitu harus/bidaah hasanah) maka perlu kita ELAKKAN untuk mengisi hari kelahiran baginda dengan perkara-perkara yang tidak baik seperti adanya pergaulan antara lelaki dan perempuan yang boleh mengundang fitnah. Wallahua’lam.