Skip to content

Maulidur Rasul: Bahagian 1 – Kelahiran Nabi

Loading

Tidak lama lagi kita bakal menyambut ulang tahun kelahiran seorang insan istimewa yang membawa rahmat kepada seluruh umat Islam. Namanya meniti di bibir kita setiap hari, waima di dalam solat pun kita memuji-muji namanya. Insan tersebut ialah Nabi Muhammad SAW. Mari kita sama-sama hayati peristiwa dan sejarah di sebalik kelahiran baginda.

Pengenalan

Nama penuh baginda ialah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdi Manaf bin Qusaiy. Baginda dilahirkan pada 12 Rabiulawal pada hari Isnin dalam Tahun Gajah, yang mana bersamaan dengan 20 April tahun 571 Masihi. Baginda dilahirkan di Mekah, dan nama ibunya ialah Aminah binti Wahab. Baginda wafat pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun ke 11 Hijrah, atau pun bersamaan dengan 8 Jun 632 Masihi.

Irhas

Apa itu Irhas? Irhas bermaksud peristiwa luar biasa yang berlaku, dikurniakan oleh Allah SWT kepada para Nabi dan Rasul ketika mereka masih kecil. Ini merupakan persediaan sebelum mereka dilantik menjadi Rasul, selain daripada menjadi ciri-ciri yang membezakan antara insan biasa dan insan istimewa.

Teruskan membaca untuk mengetahui peristiwa-peristiwa di sebalik kelahiran baginda.

Peristiwa-peristiwa yang Berlaku

Sebelum kelahiran

  • Cahaya

Sejak kecil, Abdullah (bapa Nabi Muhammad SAW) telah diberikan oleh Allah SWT tanda di dahinya di mana tanda tersebut bercahaya. Apabila waktu malam, orang lain dapat mengenalpasti orang yang berjalan itu adalah Abdullah dek kerana dahinya yang terang benderang itu.  Apabila Abdullah meningkat dewasa, beliau diminati oleh ramai wanita termasuklah ahli kitab disebabkan oleh wajahnya yang bercahaya itu.

Sehinggalah beliau berkahwin dengan Aminah, lalu cahaya dari wajahnya telah berpindah ke wajah isterinya. Ada yang mengatakan bahawa benih yang menanggung cahaya tadi telah berpindah ke jasad dan tubuh badan Aminah, kerana itulah wajah Aminah pula yang bercahaya.

  • Mimpi

Pada suatu hari, Aminah bermimpi di mana di dalam mimpi itu beliau menadah tangan ke langit dan melihat sendiri malaikat sedang turun dari langit. Aminah mengumpamakan mereka seperti kapas putih yang terapung di angkasa. Kemudian malaikat tersebut berdiri di hadapannya. Ia berkata:

“Khabar bahagia untuk saudara, wahai ibu daripada seorang Nabi. Putera saudara itu menjadi penolong dan pembebas manusia. Namakan dia Ahmad.”

Bukan itu sahaja, menurut Imam Ibnu Katsir meriwayatkan di dalam kitabnya yang berjudul Qishabul Anbiya, selama mengandungkan Nabi Muhammad SAW ibunya Aminah selalu bermimpi berjumpa dengan nabi-nabi terdahulu.

  • Mudah

Ketika mengandungkan Nabi Muhammad SAW, Aminah tidak merasa sakit dan lelah seperti kebiasaan yang dirasai oleh ibu-ibu mengandung yang lain. Segala urusannya dipermudahkan atas izin Allah SWT.

Semasa kelahiran

  • Cahaya terpancar

Aminah telah menyaksikan nur (cahaya) keluar memancar-memancar dari tubuh badan baginda saat baginda dilahirkan. Ada juga yang mengatakan cahaya tersebut terpancar sehingga ke Istana Busra di Syria. Cahaya tersebut terlalu terang sehinggakan orang Arab berpusu-pusu datang ke rumah Aminah kerana rasa ingin tahu yang tinggi- cahaya apakah yang keluar dari sebuah rumah yang sederhana dan miskin itu.

  • Tiada darah

Kebiasaan wanita yang sedang melahirkan anak, pasti diiringi dengan darah yang melimpah ruah. Tetapi ini tidak berlaku kepada Aminah saat melahirkan Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW lahir bersih tanpa darah, dan Aminah tidak merasa sakit ketika melahirkan baginda. Nabi Muhammad SAW juga tidak menangis setelah lahir ke dunia, malah baginda tersenyum. Atas kehendak Allah SWT juga, Rasulullah SAW dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan (bersunat) dan tali pusatnya juga telah tersedia putus.

  • Musnahnya berhala

Ada juga dikatakan pada malam kelahiran baginda, patung-patung berhala yang terdapat di situ semuanya mengalami kerosakan dan kemusnahan. Ini dapat dilihat melalui riwayat daripada Abdul Mutalib:

“Ketika aku sedang berada di Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Lalu aku mendengar suara dari dinding Kaabah berkata, “Telah lahir Nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui.”

  • Terpadam

Untuk pengetahuan semua, orang-orang Majusi di Parsi menyembah api. Di negara mereka terdapat sebuah api yang tidak pernah terpadam selama seribu tahun lamanya, yang menjadikannya punca untuk disembah oleh orang di sana. Namun, setelah lahirnya Nabi Muhammad SAW, api yang menjadi sembahan itu terpadam.

  • Tenggelam

Di samping itu, di Parsi terdapat sebuah tasik yang dianggap suci dan ianya disembah dengan upacara korban dan sebagainya. Tasik tersebut ialah Tasik Sava. Pada malam kelahiran baginda, Tasik Sava yang disembah ini tenggelam ke dalam tanah dan ditelan bumi sehingga tidak kelihatan permukaannya. Maka lenyaplah satu pusat penyembahan yang wujud pada ketika itu.

Setelah kelahiran

  • Cuci

Sedang baginda Nabi Muhammad SAW bermain-main dengan saudara susuannya ketika berusia 4 tahun, datang malaikat Jibril dan Mikail mendekati baginda. Lalu dada baginda dibelah dan malaikat mengeluarkan segumpal darah dan darah itu dicuci di dalam sebuah bekas emas yang berisi air zam-zam, dan segumpal darah itu diletakkan semula di tempatnya. Perisitwa ini juga ada diterangkan di dalam Surah Al – Insyirah ayat 1:

“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu; dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk)?”

  • Rahmat

Setelah kelahiran baginda, baginda diasuh oleh ibu susuannya iaitu Halimatus Saadiah. Ada riwayat yang menyatakan bahawa ladang-ladang Halimah yang telah lama mengalami kemarau kembali subur dan menghijau. Perkara yang sama juga berlaku kepada haiwan ternakan seperti kambing yang telah mengeluarkan susu dengan banyak. Nabi Muhammad SAW juga tidak pernah dihinggap oleh lalat walaupun seekor. Sudah beberapa kali juga Halimah serta suaminya menyaksikan tompokan awan-awan kecil di atas kepala baginda untuk melindungi baginda daripada panas terik matahari.

Kesimpulan

Melalui peristiwa-peristiwa yang telah dikongsikan di atas, dapat kita lihat dan fahami betapa istimewanya seorang insan yang bernama Muhammad. Keistimewaannya itu sampaikan dialami oleh bapa baginda sebelum baginda lahir lagi. Ketika baginda lahir pula urusan ibu serta orang-orang disekeliling baginda dipermudahkan atas kehendak Allah. Sesudah lahir pula bermacam-macam rahmat dan kebaikan tumpah ke atas baginda serta orang-orang yang menjaga baginda. Amat beruntunglah kita yang berpeluang menjadi umat baginda. Dah berselawat ke belum harini? Marilah kita sama-sama mengisi waktu dengan melakukan ibadah yang mulia ini.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Share:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Print
Pengetahuan

Aktiviti & Artikel Terbaru

Daftar dan terus belajar Kaedah Haraki