Hijrah merupakan peristiwa yang amat penting untuk dihayati kerana ia merupakan permulaan agama Islam tersebar ke seantero dunia. Namun, sebelum kegemilangan itu berlaku, Nabi Muhammad SAW serta Abu Bakar as-Siddiq terpaksa bersembunyi di dalam sebuah gua untuk mengelakkan diri daripada dibunuh oleh kaum Musyrikin Mekah. Maka Nabi Muhammad SAW pun diperintahkan oleh Allah SWT untuk keluar berhijrah ke Yathrib (Madinah).
Penetapan Kalendar Hijrah
Pada asalnya, para sahabat bercadang untuk menetapkan tarikh/kalendar bagi Madinah ketika itu adalah sama ada dengan merujuk kepada tahun Islam bermula ketika kelahiran Nabi Muhammad SAW ataupun pada tarikh baginda diangkat menjadi nabi dan rasul. Walaubagaimana pun, mereka sebulat suara bersetuju untuk menetapkan permulaan tarikh Islam adalah pada tarikh penghijrahan Nabi Muhammad SAW. Jadi, mengapakah pemilihan tahun bagi kalendar Islam merujuk kepada penghijrahan tersebut? Apakah nilai penghijrahan Nabi Muhammad SAW yang sebenar?
Peristiwa Hijrah
Bagi mereka yang tidak mendalami peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW, mereka akan beranggapan bahawa Nabi Muhammad SAW melarikan diri setelah diancam dengan hebat oleh kaum Musyrikin Mekah. Sedangkan hakikatnya penghijrahan baginda dan sahabat baiknya Abu Bakar As-Siddiq RA telah diperincikan melalui musyawarrah dan akhirnya mereka melakukan perghijrahan berdasarkan strategi yang telah dibincangkan.
Pada usia 40 tahun ketika sedang mengasingkan diri di Gua Hira, Rasulullah SAW telah dilawat oleh Malaikat Jibril. Jibril memberitahu Nabi Muhammad SAW bahawa baginda telah diangkat oleh Allah SWT untuk menjadi rasul kepada seluruh umat manusia. Awalnya Rasulullah hanya memperkenalkan Islam kepada ahli keluarga dan sahabat terdekat baginda. Tidak lama kemudian baginda telah diperintahkan oleh Allah untuk berdakwah secara terbuka.
Di Mekah, Rasulullah berjaya mengislamkan sekumpulan kecil. Namun begitu, disebabkan bilangan mereka yang kecil dan menjadi minoriti di situ mereka sering diancam dan nyawa mereka sentiasa dalam bahaya. Kaum kafir terutamanya bangsa Quraisy sering menyeksa mereka dengan zalim. Oleh sebab itu Rasulullah mengarahkan mereka supaya keluar dari Mekah dan pergi ke Yathrib (Madinah) secara sembunyi-sembunyi demi menjaga keselamatan mereka daripada terus ditindas dan diancam. Maka mereka pun meninggalkan harta benda mereka serta keluarga mereka yang kafir dan disambut mesra oleh penduduk di Madinah.
Kemudian pada suatu hari, Rasulullah SAW mendapat tahu bahawa kaum musyrikin Mekah telah merancang untuk membunuh baginda lantas mahu memusnahkan Islam di Mekah. Baginda menunggu perintah Allah SWT lalu malaikat Jibril AS bertemu baginda dan memaklumkan Allah SWT mengarahkan baginda keluar dari situ pada waktu malam. Setelah itu, Rasulullah pergi menemui sahabat baiknya Abu Bakar As-Siddiq RA dan meminta Abu Bakar (RA) untuk menemani baginda dalam perjalanan tersebut.
Rancangan serta strategi pada malam itu turut Rasulullah SAW kongsikan kepada Ali bin Abi Talib (RA) dan meminta Ali (RA) untuk menggantikan tempat Rasulullah di rumah baginda. Tanpa mempersoalkan permintaan baginda, Ali (RA) pun tidur di atas katil Rasulullah SAW yang mana ketika itu sekumpulan Quraisy mengepung rumah Rasulullah SAW. Mereka menyangkakan bahawa itu adalah Rasulullah SAW dan mereka begitu yakin Rasulullah SAW tidak akan dapat melarikan diri dan akhirnya mereka pasti dapat membunuh baginda. Namun setelah fajar menyinsing, alangkah terkejutnya mereka melihat Ali yang keluar dari rumah tersebut dan bukannya Rasulullah SAW.
Pada malam kejadian, Rasulullah SAW dan Abu Bakar bersembunyi di dalam sebuah gua di Gunug Tsur selama 3 hari. Kaum Quraisy ada melintasi Kawasan gua tersebut tetapi mereka tidak dapat menemukan baginda serta Abu Bakar. Hal ini demikian kerana kaum Quraisy yakin bahawa tiada orang yang masuk ke gua itu dek kerana pintu gua itu dilitupi dengan sarang labah-labah dan terdapat sarang burung merpati. Sesungguhnya ketika ini Rasulullah SAW dan Abu Bakar telah dilindungi oleh Allah SWT. Peristiwa ini dapat dibuktikan melalui Surah At-Taubah ayat 40:
اِلَّا تَنْصُرُوْهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللّٰهُ اِذْ اَخْرَجَهُ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا ثَانِيَ اثْنَيْنِ اِذْ هُمَا فِى الْغَارِ اِذْ يَقُوْلُ لِصَاحِبِهٖ لَا تَحْزَنْ اِنَّ اللّٰهَ مَعَنَاۚ فَاَنْزَلَ اللّٰهُ سَكِيْنَتَهٗ عَلَيْهِ وَاَيَّدَهٗ بِجُنُوْدٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِيْنَ كَفَرُوا السُّفْلٰىۗ وَكَلِمَةُ اللّٰهِ هِيَ الْعُلْيَاۗ وَاللّٰهُ عَزِيْزٌ حَكِيْمٌ
Yang bermaksud:
- Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad), sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir mengusirnya (dari Mekah); sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, ketika itu dia berkata kepada sahabatnya, “Jangan engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan kepadanya (Muhammad) dan membantu dengan bala tentara (malaikat-malaikat) yang tidak terlihat olehmu, dan Dia menjadikan seruan orang-orang kafir itu rendah. Dan firman Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.
Maka jelaslah bahawa Rasulullah SAW dan Abu Bakar telah dilindungi oleh Allah SWT. Setelah baginda yakin kaum Quraisy telah pergi dari kawasan gua tersebut, mereka pun meneruskan perjalanan mereka dengan menaiki unta yang dibawa oleh orang gaji baginda, Abdullah. Ketiga-ketiga mereka pun beredar dari situ dengan menggunakan laluan yang tidak diketahui oleh orang ramai untuk menuju ke Madinah.