Skip to content

Hari Raya Haji: Bahagian 1 – Ringkasan Sejarah

Loading

Biar pun diuji dengan wabak yang tidak disangka-sangka, namun umat Islam berasa gembira untuk menyambut kedatangan Aidiladha pada tahun ini. Sambutan Hari Raya Korban atau juga turut dikenali sebagai Hari Raya Haji tidak lengkap tanpa ibadah korban. Mari kita rungkai peristiwa yang bersejarah ini bagi menambah ilmu pengetahuan, sekaligus membantu kita mendalami apakah makna disebalik ibadah ini.

Ujian Nabi Ibrahim

Seperti yang semua sedia maklum, Nabi Ibrahim bukan sahaja diuji ketika menyampaikan dakwah, bahkan juga diuji dengan ketiadaan cahaya mata sehingga berumur 86 tahun. Sungguhpun begitu, Nabi Ibrahim tidak pernah berputus asa dan terus berdoa kepada Allah dan memohon untuk dikurniakan anak. Doa ini dapat dilihat menerusi Surah As-Saaffaat ayat 100 yang berbunyi:

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

Ayat di atas bermaksud: “Ya Tuhanku, Engkau anugerahkanlah kepada aku (seorang anak) yang tergolong daripada orang-orang soleh.”

Allah mendengar doa Nabi Ibrahim dan memakbulkan doanya. Dengan itu lahirlah putera sulung Nabi Ibrahim yang diberi nama Ismail ketika Nabi Ibrahim berumur 86 tahun. Nabi Ismail disifatkan sebagai seorang anak yang halim. Ertinya sangat penyabar, mulia akhlaknya, seseorang yang berlapang dada dan suka memaafkan orang lain.

Nazar Nabi Ibrahim

Untuk pengetahuan, Nabi Ibrahim sangat suka melakukan korban haiwan ternakan dengan banyak iaitu 1000 ekor kambing, 300 ekor lembu dan 100 ekor unta. Sifatnya ini juga sangat dikagumi oleh para malaikat. Ketika itu, Nabi Ibrahim pernah berkata:

“Semua yang menjadi qurbanku itu belumlah menjadi apa-apa bagiku. Demi Allah, kalau aku mempunyai anak lelaki, tentu aku akan persembahkan juga di jalan Allah dan aku korbankan dia untuk Allah SWT.”

Namun begitu, setelah lahirnya Nabi Ismail putera pertamanya, Nabi Ibrahim terlupa akan nazarnya.

Mimpi Nabi Ibrahim

Pada malam 8 Zulhijjah yang juga dikenali sebagai malam tarwiyah, (yang bermaksud ‘fikir’ dalam Bahasa Arab), Nabi Ibrahim telah bermimpi. Di dalam mimpi itu, terkandung perintah Allah yang mengatakan “Wahai Ibrahim, tunaikan lah nazarmu.”

Ketika itu, Nabi Ibrahim tidak pasti dan keliru sama ada itu adalah benar-benar perintah Allah ataupun mainan mimpi dari syaitan. Dan kerana peristiwa ini jugalah 8 Zulhijjah digelar malam tarwiyah.

Pada keesokan harinya, iaitu 9 Zulhijjah yang juga dikenali sebagai Arafah (bermaksud ‘pasti’ dalam Bahasa Arab), Nabi Ibrahim mendapat mimpi yang sama. Kerana itu lah tarikh ini digelar Arafah kerana Nabi Ibrahim sudah pasti bahawa mimpi tersebut datang daripada Allah.

Manakala 10 Zulhijjah pula digelar Nahrun yang membawa maksud ‘sembelih’. Pada tarikh ini pula Nabi Ibrahim yakin bahawa Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk melakukan penyembelihan kerana telah bermimpi untuk kali ketiga. Setelah itu, Nabi Ibrahim memaklumkan kepada Nabi Ismail tentang perintah Allah tersebut.

Rentetan Peristiwa Menerusi Surah As-Saaffaat Ayat 100-107

Rentetan peristiwa ini ada diceritakan dalam firman Allah SWT di dalam Surah As-Saaffaat, bermula daripada ayat 100-107 yang bermaksud:

“Wahai Tuhanku, anugerahkan lah kepadaku (seorang anak) yang termasuk dalam kalangan orang-orang yang soleh.” (As-Saaffaat 37:100)

“Maka, Kami memberi khabar gembira kepadanya dengan kelahiran seorang anak yang penyabar (Ismail).” (As-Saaffaat 37:101)

“Maka, ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” (As-Saaffaat 37:102)

“Setelah kedua-duanya berserah diri kepada Allah (menjunjung perintah Allah itu), Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami).” (As-Saaffaat 37:103)

“Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim!” (As-Saaffaat 37:104)

“Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. (As-Saaffaat 37:105)

“Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata,” (As-Saaffaat 37:106)

“Dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar,” (As-Saaffaat 37:107)

Pemahaman Peristiwa Qurban

Setelah diperintahkan oleh Allah SWT, Nabi Ibrahim sudah bersedia untuk menyembelih anak yang sudah lama dinantikannya atas dasar akur dengan perintah Allah dan takut akan siksaNya. Nabi Ibrahim membaringkan dan mengalihkan muka Nabi Ismail dengan tujuan penyembelihan akan dilakukan pada tengkuknya, dan juga agar Nabi Ibrahim tidak melihat wajah anaknya ketika disembelih nanti. Maka di sini lah terserlah kesabaran kedua-duanya dalam melaksanakan perintah Allah.

Lalu Nabi Ibrahim pun menghiris pisaunya pada leher Nabi Ismail, namun tidak dapat memotong sesuatu apa pun. Dengan berlakunya kejadian ini, telah terbukti keteguhan, kesabaran serta ketaatan Nabi Ibrahim terhadap Allah SWT. Ternyata Nabi Ibrahim lebih mengutamakan cinta Allah daripada segala-galanya. Maka penyembelihan anaknya itu tidak lagi ada faedahnya.

Allah SWT melarang Nabi Ibrahim menyembelih Nabi Ismail. Untuk meneruskan korban, Allah telah menggantinya dengan seekor kambing qibasy putih yang bertanduk dan gemuk. Lalu Nabi Ibrahim pun menyembelih kambing tersebut. Peristiwa ini lah yang menjadi dasar disyariatkan ibadah Qurban yang dilakukan pada Hari Raya Haji.

Kesimpulan

Menerusi peristiwa yang menjadi titik permulaan ibadah korban ini, dapat kita lihat bahawasanya ianya adalah sebuah ujian untuk melihat sejauh mana rasa cinta dan taat kepada Allah SWT. Sesungguhnya cinta terhadap Allah itu merupakan cinta yang paling agung, dan cinta yang tidak akan dikecewakan kerana Allah akan memberi ganjaran kepada mereka yang taat kepadaNya. Yakin lah dengan pertolongan dan rahmat Allah walaupun diuji dengan perkara yang luar biasa. Teruskan memohon pertolongan daripada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar. Dia menggenggam setiap doa-doa hambaNya dan melepaskannya pada waktu-waktu yang tepat. Wallahua’lam.

Share:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Print
Pengetahuan

Aktiviti & Artikel Terbaru

Daftar dan terus belajar Kaedah Haraki