Al-Quran merupakan kalam Allah SWT yang menjadi panduan kepada seluruh umat Nabi Muhammad SAW bermula dari penurunannya sehinggalah hari kiamat. Amatlah rugi jika seorang individu Muslim yang hidupnya jauh daripada Al-Quran apatah lagi tidak mahir untuk membaca isi dalam Al-Quran. Penerapan membaca Al-Quran perlu diasuh sejak dari kecil lagi supaya ia sebati dalam kehidupan seharian.
Dapat dilihat hari ini apabila ramai ibu bapa yang bersungguh-sungguh menghantar anak mereka ke kelas pengajian Al-Quran bagi memupuk minat anak-anak mereka dalam membaca Al-Quran. Ada beberapa panduan dan kaedah untuk minat anak-anak untuk membaca Al-Quran antaranya adalah:
- Membina asas mengenal huruf-huruf hijaiyyah
Pembinaan asas ini adalah sangat penting khususnya di peringkat awal pembelajaran. Pada peringkat ini fokus kepada sebutan makhraj huruf yang tepat dan keliru apabila huruf bersambung. Jangan diambil mudah dengan kesalahan ini kerana sekiranya dibiarkan, mereka akan selesa dengan kesalahan tersebut sehingga dewasa.
Penekanan terhadap sebutan huruf dan masalah keliru apabila huruf bersambung perlu dilebihkan untuk mendapat sebutan yang tepat, bukan sekadar mengejar siapa cepat khatam. Sekiranya pada peringkat asas ini dapat dikuasai dengan baik, inshaaAllah anak-anak akan mudah untuk membaca ayat bersambung dan membaca surah-surah pendek seterusnya buka Al-Quran.
- Ceritakan kisah-kisah daripada surah yang dibaca dalam Al-Quran
Anak-anak sangat teruja dengan penceritaan. Gunakan kelebihan kisah-kisah nabi terdahulu yang banyak terdapat di dalam Al-Quran untuk menarik minat mereka. Minta anak-anak baca kisah tersebut atau ibu bapa ceritakan kisah tersebut.
Sebagai contoh surah Al-Fiil yang menceritakan perihal tentera bergajah yang datang untuk memusnahkan kota Mekah, namun kota Mekah berjaya diselamatkan bukan daripada tangan manusia sebaliknya oleh burung yang bernama Ababil. Kaedah penceritaan yang kreatif dapat menambah lagi minat anak-anak untuk mengetahui kisah-kisah lain yang terdapat dalam Al-Quran.
- Guna Alunan Lagu Semasa Mengaji
Selain itu, boleh juga menggunakan teknik nyanyian atau alunan lagu berunsurkan ayat-ayat suci Al-Quran. Tarik perhatian anak-anak dengan alunan yang menarik minat mereka dengan sebaiknya. Di dalam kereta boleh biasakan memasang CD mengaji setiap hari. Kanak-kanak diusia awal ini lebih mudah untuk ‘tangkap’ dengan apa yang didengarnya.
“Hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu.” Demikian sabda Nabi Muhammad SAW. Pembaca Al-Quran sangat dituntut untuk membacanya dengan suara yang terbaik dan berlagu mengikut lagu-lagu Al-Quran. Anak-anak kebiasaannya gemar dengan nyanyian dan lagu. Jadi, jika mereka dengar dengan kerap, maka pastinya mereka akan mudah untuk mengikutnya.
- Beli Buku Yang Menarik Mengenai Mengaji
Kemudian, selaku ibu bapa disiplinkan diri dan anak-anak untuk mengaji setiap hari. Luangkan masa dalam 15 hingga 20 minit sehari untuk mengajar anak-anak. Belikan buku-buku mengaji untuk mereka yang menarik. Sekiranya buku tersebut mempunyai latihan lebih baik boleh mereka praktikkan selalu sehingga dapat membantu dan menarik minat anak-anak untuk belajar dengan lebih mudah.
Bagi anak-anak yang mempunyai masalah asas iaitu belum mahir mengenal huruf dan mempunyai masalah keliru huruf bersambung boleh menggunakan Buku Asas Al-Quran Kaedah Haraki untuk selesaikan masalah mereka kerana buku tersebut mempunyai ilustrasi gambar yang menarik, latihan dan yang paling menarik ada video pembelajaran.
Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada semua ibu bapa. Akhir sekali harapan semoga dapat menyuburkan cinta anak-anak terhadap Al-Quran semenjak kecil. Semoga kelak apabila mereka dewasa, Al-Quran dan diri mereka berpisah tiada.
Sabda Rasulullah SAW:
“Dan dipakaikan kedua ibubapanya dengan perhiasan yang tidak boleh dinilai dengan isi dunia. Lalu kedua ibubapanya bertanya: Wahai Tuhan, mengapa kami diberikan nikmat ini? Lalu dijawab kepada mereka: Kerana engkau mengajarkan anakmu Al-Quran.” (HR al-Tabrani).
No comment yet, add your voice below!