Begitu banyak keistimewaan membaca al-Quran yang disebutkan dalam Al-Quran dan Al- Hadis. Salah satunya firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat serta menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami anugerahkan kepada mereka baik secara diam-diam mahupun secara terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tak akan rugi” (QS Fathir : 29)
Rasulullah SAW juga pernah bersabda:
“Orang yang mahir dalam membaca al-Quran akan bersama-sama para malaikat yang mulia dan selalu berbuat baik. sedangkan orang membaca al-Quran dalam keadaan tersekat-sekat dan sulit untuk membaca maka baginya dua pahala” (HR Al-Bukhari dan Muslim)
Kisah dari sahabat Rasullullah SAW yang bernama Usaid Bin Hudhair. Beliau merupakan perwira di medan perang. Menurut para sahabat, sekiranya beliau tidak keluar berjihad, beliau akan memenuhi masanya dengan al-Quran. Beliau suka membaca di saat orang lain tengah tidur iaitu ketika malam sunyi.
Berkenaan kemerduan suara Usaid maka para sahabat amat meminati dengan bacaan al-Qurannya. Mereka sentiasa ternanti-nanti apabila beliau bertilawah. Kelebihan dirinya yang banyak menyebabkan dirinya digelar sebagai Al-Kamil iaitu bermakna sempurna.
Pada suatu malam yang tenang, Usaid keluar duduk di halaman rumahnya. Maka terdetik dalam hatinya untuk memperindahkan malam itu dengan ayat-ayat suci al-Quran. Lalu dengan suara merdunya itu beliau membaca al-Quran. Tiba-tiba Usaid mendengar bunyi kudanya meronta dan melompat seperti takutkan sesuatu.
Perkara itu berulang beberapa kali. Setiap kali beliau membaca, kudanya itu meronta. Usaid bimbang kuda tersebut terlepas dan terpijak anaknya, Yahya yang sedang tidur di sisinya. Lalu, beliau bangun mengejutkan Yahya. Pada ketika itulah, beliau mendongak ke langit, terlihat awan yang besar memayungi langit. Dihujung-hujungnya terdapat gugusan cahaya umpama pelita. Cahaya itu bersinar dan bergerak secara menaik sehingga lama-kelamaan hilang dari pandangan.
Peristiwa itu menakjubkan Usaid kerana beliau tidak pernah melihat perkara seindah dan sehebat itu. Keesokan hari Usaid menceritakan perkara itu kepada Rasulullah SAW. Sabda baginda kepada beliau:
“Itulah dia malaikat Wahai Usaid. Mereka datang untuk mendengar bacaanmu. Seandainya engkau meneruskan bacaanmu semalam, nescaya semua manusia yang ada akan dapat melihat malaikat tersebut. Malaikat itu tidak akan menyembunyikan diri”.
Beruntung sahabat yang bernama Usaid bin Hudhair kerana bacaanya bukan sahaja digemari penghuni bumi, tetapi juga penduduk di langit. Seindah-indah makhluk bernama malaikat, masih menagihkan keindahan alunan bacaan al-Quran beliau.
No comment yet, add your voice below!