Skip to content

Amalan Hebat di Bulan Ramadan

Loading

Kehadiran bulan suci Ramadhan merupakan satu peluang untuk umat islam meraih pahala yang berlipat ganda selama sebulan berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

Bulan Ramadhan hadir dalam hidup kita sekali dalam setahun. Namun sebulan itu lebih berharga dari sebelas bulan yang lain. Oleh kerana itu, penuhkan amalan bulan Ramadhan ini dengan amal ibadah yang lain. 

Rasulullah SAW ada bersabda:

Maksudnya: “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkahan, AIlah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu, kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah di bulan ini.” – (Hadis Riwayat At-Thabrani)

Amalan-amalan di bulan Ramadhan:

1. Membaca al-Quran (Tadarus)

Membaca Al-Quran adalah salah satu amalan baik yang dapat dilakukan diawal bulan Ramadhan hingga akhir bulan Ramadhan. Dengan membaca Al-Quran diawal bulan Ramadhan, inshaaAllah pada akhir bulan Ramadhan nanti dapat khatam al-Quran. 

Satu Al-Quran mengandungi 30 juzuk. Untuk capai target khatam Al-Quran dalam bulan Ramadhan, boleh dipraktikkan baca Al-Quran 4 muka surat setiap kali selepas solat 5 waktu. Dalam sehari, insha Allah tidak ada masalah untuk habiskan satu juzuk. 

2. Bersedekah

Rasulullah SAW tidak melepaskan peluang untuk bersedekah pada bulan Ramadan sepertimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari: 

Maksudnya: “Adalah Nabi seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan”. Baginda SAW sangat menekankan kepada kita untuk perbanyakan amalan bersedekah khususnya pada bulan Ramadhan kerana ganjarannya sangat hebat: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.” –  (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

Bersedekah tidak semestinya dari segi wang ringgit sahaja. Walaupun sekadar sebiji tamar dan seteguk air untuk orang lain berbuka puasa, ia sudah memadai. Bersedekah semampu kita yang penting ianya ikhlas dari hati. 

3. Menahan marah

Jika nak dibandingkan antara menahan lapar dan dahaga dengan menahan amarah, sudah tentunya menahan marah lebih sukar untuk dilakukan lebih-lebih lagi ketika dalam bulan suci Ramadhan. Kadang kala hanya kerana perkara kecil, ia boleh menyebabkan emosi kita tidak menentu.

Ini adalah perjuangan untuk kita mengawal amarah dalam diri. Jika tidak, Allah SWT tidak akan menyifatkan orang yang berjaya kawal marah ini sebagai ciri orang yang bertaqwa seperti mana dalam surah Ali-Imran, ayat 134:

Yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.”

4. Banyakkan berdoa

Berdoa dalam bulan Ramadhan ini khususnya setiap kali selepas berbuka puasa. Sedang kita sibuk menikmati hidangan di depan mata, jangan lepaskan berdoa sebagai amalan dalam Ramadhan kerana diriwayatkan oleh Tirmidzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Ada 3 golongan yang tidak ditolak doa mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”

Kesimpulan

Semoga bulan Ramadhan pada tahun ini membawa kebaikan kepada kita dan dapat meraih pahala sebanyak yang boleh. Mungkin ini Ramadhan terakhir, moga Allah SWT memberkati dan menerima amal ibadah yang dilakukan. 

Loading

No comment yet, add your voice below!


Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Print
Pengetahuan

Aktiviti & Artikel Terbaru

Daftar dan terus belajar Kaedah Haraki