Marah merupakan satu perasaan yang wujud secara semulajadi dalam diri setiap manusia. Perasaan ini muncul kadangkala secara spontan apabila diri disakiti, dizalimi atau dalam keadaan tertekan serta menghadapi sebarang masalah.
Orang yang sedang marah tekanan darahnya dalam keadaan tidak teratur, jantungnya berdegup kencang, paras degupan jantung dan tekanan darah akan meningkat, pernafasan menjadi laju serta pendek. Otot akan menegang, paras hormon juga akan meningkat sehingga menyebabkan pergerakan badan menjadi lebih bertenaga dan ketika itulah syaitan akan masuk.
Rasulullah pernah berkata di dalam sabdanya: “Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah”. – [HR Bukhari 3281 dan Muslim 2175].
Apabila syaitan mula membisikkan dengan bisikan kejahatan sehingga seseorang itu tidak dapat menahan kemarahannya, secara langsung menyebabkan seseorang itu bertindak melakukan tindakan-tindakan di luar batasan sebagai contoh memaki hamun, memukul dan bertindak agresif sehingga ke tahap membunuh disebabkan oleh kemarahan yang tidak dapat dibendung.
Beberapa cara yang boleh diamalkan untuk meredakan kemarahan seperti:
1. Membaca istia’zah atau ta’awuz.
Mintalah perlindungan Allah SWT daripada syaitan yang menyesatkan dengan melafazkan “Aa’uzubillahiminassyaitonirrojim” yang bermaksud “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam”. Ini kerana syaitan sentiasa menyuruh manusia melakukan sesuatu perkara yang di luar fitrah manusia. Mereka akan berusaha menghasut manusia supaya melakukan perbuatan yang dimurkai Allah ketika seseorang itu dalam keadaan marah.
Oleh yang demikian, mintalah pertolongan Allah SWT supaya diri terhindar daripada bisikan syaitan yang boleh membinasakan apabila dalam keadaan marah.
2. Menukar posisi seperti duduk, berbaring atau mengambil wuduk
Menukar posisi kedudukan apabila marah boleh meredakan kemarahan. Sabda Rasulullah: “Jika salah seorang dari kalian marah dan ia dalam keadaan berdiri, hendaklah ia duduk. Jika rasa marahnya hilang (maka itu yang dikehendaki), jika tidak hendaklah ia berbaring”. – [HR Abu Daud 4151].
Selain daripada menukar posisi digalakkan untuk mengambil wuduk. Ini kerana kemarahan yang tak terkawal itu daripada syaitan dan syaitan diciptakan daripada api. Maka air boleh memadamkan api.
Sabda Rasulullah: “Maka jika salah seorang di antara kalian marah hendaklah ia berwuduk”. – [HR Ahmad 17302].
Hikmah wuduk itu sendiri dapat membersihkan kekotoran hati, menyejukkan hati, melahirkan ketenangan serta dapat menghapuskan dosa-dosa kecil.
3. Mendiamkan diri
إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam. –Al-Adab al-Mufrad (245)
Berdiam diri sewaktu dalam keadaan marah adalah lebih baik, kerana dalam keadaan marah, perkataan-perkataan yang diungkapkan berkemungkinan akan mengguris perasaan orang lain dan mungkin memberi ancaman kepada diri sendiri.
No comment yet, add your voice below!