Dajjal akan menjadi fitnah bagi umat manusia di akhir zaman. Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu kerana antara sifat Dajjal adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadis-hadisnya seperti:
- Seorang manusia.
- Rambutnya kerinting dan kusut masai.
- Sebelah daripada matanya buta.
- Tertulis pada dahinya كفر (kufur).
- Peringatan tentang Dajjal sebenarnya bukanlah hanya disampaikan oleh Rasulullah SAW, bahkan para nabi terdahulu seawal Nabi Nuh AS telah mengingatkan kepada kaumnya.
“Sungguh aku benar-benar telah memperingatkan kamu darinya (Dajjal). Tiada seorang nabi pun kecuali dia pasti memperingatkan kaumnya. Sungguh Nuh telah memperingatkan kaumnya” (HR al-Bukhari)
- Rasulullah SAW juga bersabda bahawa Dajjal adalah fitnah paling besar:
“Di antara penciptaan Adam terjadinya hari Kiamat tiada fitnah yang lebih besar daripada Dajjal.” (HR Muslim)
- Bagaimanakah tipu daya Dajjal akan berlaku? Mari kita lihat hadis-hadis Rasulullah SAW:
3.1 Dajjal dilihat seperti orang beriman dan melakukan syubhat.
“Sesiapa yang mendengar tentang Dajjal maka hendaklah dia menjauh darinya, kerana demi Allah, sesungguhnya akan ada seseorang lelaki yang mendatanginya dan menyangka Dajjal itu seorang yang beriman lalu dia mengikutinya kerana hebatnya syubhat yang dia bangkitkan, atau kerana syubhat yang dia tebarkan.” (HR Abu Daud)
3.2 Dajjal memberi ‘kesembuhan’ dan ‘menghidupkan’ lalu manusia menyembahnya.
“Dajjal pasti keluar. Dia itu buta sebelah. Mata yang kiri ada kulit semacam selaput yang tebal. Dia mampu menyembuhkan orang buta dan yang terkena kusta. Dia dapat menghidupkan orang yang mati. Dia berkata kepada orang ramai, “Akulah rabb kalian”. Maka barangsiapa yang berkata, “Engkaulah rabb-ku”, sungguh dia telah terfitnah. Siapa saja berkata, “Rabb-ku adalah Allah”, sampai dia mati, maka dia telah terlindung dari fitnahnya, dan tiada fitnah lagi yang menimpanya sesudah itu.” (HR Ahmad)
3.3 Dajjal memberikan ‘kenikmatan’ lalu manusia menyembahnya.
“…Kemudian Dajjal datang kepada suatu kaum kemudian menyeru mereka. Lalu mereka beriman kepadanya dan memenuhi ajakannya. Dajjal memerintahkan langit menurunkan hujannya dan juga menyuruh bumi supaya menumbuhkan tanamannya, maka binatang peliharaan mereka pun meragut tanaman, paling melimpah air susunya, paling penuh ambing susunya, paling lebar perutnya…” (HR Muslim)
3.4. Dajjal menujukkan realiti palsu.
“Sesungguhnya ketika Dajjal muncul, dia membawa air dan api. Sesuatu yang dilihat manusia bagai api itu sebenarnya air yang dingin. Adapun sesuatu yang dilihat manusia bagai air yang dingin itu sebenarnya api yang membakar. Barangsiapa daripada kalian yang mengalami kejadian itu, hendaklah dia menjatuhkan dirinya kepada apa yang dia lihat bagai api, kerana itu sebenarnya segar dan dingin.” (HR al-Bukhari)
3.5 Fitnah Dajjal berlangsung 439 hari.
“…Kami bertanya: Wahai Rasulullah, berapa lama Dajjal tinggal di bumi?” Baginda menjawab: “40 hari, sehari bagaikan setahun, sehari bagaikan sebulan, sehari bagaikan seminggu, dan baki hari lainnya sebagaimana hari-hari biasa kalian.” (HR Muslim)
- Perbanyakkanlah berdoa seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW:
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu dari seksa kubur, dan dari azab neraka, dan dari fitnah kehidupan dan kematian, dan dari dari fitnah Dajjal.” (HR al-Bukhari)
Dalam doa ini, terdapat empat perkara yang diminta iaitu dijauhkan daripada seksa kubur, azab neraka jahanam, fitnah kehidupan dan kematian serta kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa kejahatan fitnah Dajjal dapat dielakkan dengan cara berdoa kepada Allah SWT dan memohon kepada-Nya.
Berada diakhir zaman menujukkan bahawa manusia sudah mula jauh daripada ajaran al-Quran dan sunnah. Oleh itu, menjadi tanggungjawab untuk kita sebagai umat islam sentiasa mempersiapkan diri daripada tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan.
No comment yet, add your voice below!