Hasad dengki adalah sifat mazmumah yang paling kerap melanda diri manusia. Perasaan kurang senang dengan orang lain menjerumus kepada sifat iri hati dan hasad dengki. Iri hati ialah sifat yang muncul akibat dari perasaan ego dan sombong sehingga tidak boleh menerima serta melihat orang lain melebihi dirinya. Secara langsung dari rasa iri hati membuahkan pula sifat atau penyakit hasad dengki.
Hasad dengki membawa maksud perasaan inginkan agar nikmat, kelebihan, kebolehan atau keistimewaan yang ada pada orang lain terhapus. Tetapi dia akan merasa gembira jika dia termasuk dalam kumpulan yang memperolehi kelebihan serta keistimewaan tersebut.
Ciri orang yang mempunyai sifat hasad dengki:
Pertama:
Menginginkan agar kebahagiaan atau kelebihan yang terdapat pada orang lain lenyap dan mengharapkan agar kebahagiaan tersebut berpindah kepadanya.
Kedua:
Ingin melihat orang lain jatuh dan tidak memiliki kelebihan meskipun dirinya juga tidak dapat memiliki.
Ketiga:
Merasa sakit hati apabila orang lain melebihinya.
Situasi yang boleh dilihat dari sifat hasad dengki,
“Menyampahnya dengan dia ni, Dah la cantik bijak semua semua serba serbi sempurna. Rezeki mewah dapat suami pun kaya raya tapi aku…. Ermm apa kurangnya aku ni sampai tak boleh dapat macam tu?
Ada sahaja orang yang menyimpan sikap dengki sesama manusia, kadang kala sesama rakan malah terdapat juga dalam kalangan adik-beradik atau saudara-mara sendiri.
Kenapa setiap manusia itu berbeza-beza? ALLAH SWT telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Allah SWT juga menjadikan setiap hamba-Nya ada kelebihan dan kekurangan dalam sesuatu perkara sebagai ujian.
Dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada seseorang yang diberikan kelebihan pada harta dan fizikal, maka hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang) daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim & Ahmad)
Pengajaran daripada hadis ini, seseorang hamba yang benar-benar beriman akan memiliki hati yang sentiasa mengekalkan sifat syukur dan menjauhi hasad dengki serta mengurangkan kerisauan hati kerana mengejar harta duniawi.
Sama-samalah kita bermuhasabah diri. Semoga kita dijauhkan daripada sifat hasad dengki ini.
No comment yet, add your voice below!