Kehadiran bulan Syawal bukan semata-mata untuk meraikan kejayaan kita berpuasa di bulan Ramadan malah bukan bulan untuk membalas dendam dengan makan apa sahaja pada siang hari tetapi bulan Syawal merupakan bulan yang menjadi kayu pengukur samada puasa pada bulan Ramadhan memberi kesan terhadap diri atau tidak.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun” Hadis Riwayat Muslim.
Banyak ujian yang perlu ditempoh ketika berpuasa 6 Syawal. Oleh yang demikian, hati mesti kuat untuk berlawan dengan nafsu terutama apabila mendapat undangan rumah terbuka, dijamu dengan makanan yang enak, menziarahi rumah sanak sudara atau melihat masyarakat sekeliling yang makan secara sengaja.
Antara keistimewaan puasa 6 Syawal ialah:
Pertama: Berpuasa selama setahun
Sabda Nabi Muhammad s.a.w:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun” Hadis Riwayat Muslim.
Kedua: Menguatkan hubungan dengan Allah S.W.T
Dalam sebuah hadis Qudsi yang agak panjang, Allah S.W.T. berfirman,
“Dan tidaklah seorang hamba bertaqarrub (mendekatkan diri beribadah) kepada Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada apa yang telah Ku wajibkan kepadanya. Dan senantiasalah hamba Ku bertaqarrub kepada Ku dengan amalan sunnah hingga Aku mencintainya…” Hadis Riwayat Bukhari.
Ketiga: Dimasukkan ke dalam syurga
“Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke syurga dengan berpasukan, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan berkata,
“salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu maka silalah masuk ke dalam syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk)” az-Zumar: 73
Keempat: Masuk syurga melalui pintu ar-Rayyan
Syurga mempunyai beberapa pintu, pintu bagi mereka yang rajin berpuasa ialah pintu ar-Rayyan sepertimana Hadis Nabi S.A.W;
“Sesiapa yang membelanjakan harta di jalan Allah, dia akan dipanggil daripada pintu syurga: Wahai hamba Allah ini adalah kebaikan untukmu. Sesiapa yang sentiasa mendirikan solat, dipanggil daripada pintu solat. Sesiapa yang berjihad, dipanggil daripada pintu jihad. Sesiapa yang berpuasa, dipanggil daripada pintu ar-Rayyan. Sesiapa yang bersedekah, dipanggil daripada pintu sedekah. Saidina Abu Bakar R.A berkata: Demi ibu dan ayahku wahai Rasulullah S.A.W. Mereka yang dipanggil daripada pintu-pintu tersebut tidak lagi memerlukan kepada apa-apa. Apakah akan ada seseorang yang dipanggil dari semua pintu. Jawab Baginda S.A.W: Ada, aku mengharapkan engkau termasuk di kalangan mereka.” (Muttafaqun Alaih)