Setiap orang mahukan rezeki yang banyak, mudah dan berkat. Dalam pekerjaan kita seharian mencari rezeki, mestilah sentiasa tanamkan niat dalam hati supaya Allah mengurniakan kita rezeki halal, berkat, mudah serta luas. Terdapat amalan-amalan yang boleh menjadi sebab Allah melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki.
Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.
Di antaranya:
- Sentiasa mengingati Allah SWT
Banyak ingat Allah SWT buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman.
Firman-Nya:
“…(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
(Surah Ar-Ra’d, ayat 28)
- Memperbanyakkan istighfar
Istighfar adalah perbuatan memohon ampun kepada Allah swt. Ia adalah satu bentuk taubat atau kembalinya seorang hamba kepada Allah swt.
Sabda Rasulullah SAW :
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.”
(Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
- Meninggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak diterima di sisi Allah jika seseorang itu masih berbuat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah dan gelisah malah menutup pintu rezeki.
Sabda Rasulullah SAW :
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.”
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)
- Berbuat baik dan menolong orang yang lemah yang memerlukan bantuan
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang kurang upaya, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Rasulullah SAW :
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.”
(Hadis Riwayat Bukhari)