Islam amat menitikberatkan pemilihan makanan yang halal dan baik untuk kesihatan. Namun, ada masanya kita terdedah dengan suasana yang tidak menyenangkan lebih-lebih lagi apabila makan di kedai makan, contohnya apabila terjumpa lalat atau serangga di dalam hidangan yang kita jamah.
Sekiranya lalat datang singgah dalam makanan atau minuman namun tidak mati di dalam makanan atau minuman tersebut. Dalam hal ini, tidak menjadi masalah kecuali dikhuatiri makanan atau minuman berkenaan sudah dicemari kuman atau virus yang di bawa oleh lalat yang memudaratkan kesihatan. Contohnya, bimbang ia sempat bertelur. Maka pada ketika itu kita disunatkan meninggalkan makanan dan minuman tersebut. Namun jika memang nampak kesan-kesan pencemaran seperti telur lalat dan sebagainya, maka haram dimakan atau dihidangkan kepada orang untuk makan kerana besar kemungkinan untuk mendatangkan keburukan kepada orang lain.
Mungkin ramai lagi diantara kita yang masih tertanya-tanya, apakah hukum makanan atau minuman yang telah dimasuki serangga atau lalat. Adakah ia masih boleh dimakan atau perlu dibuang? Mari kita lihat hadis sahih berkenaan hal ini daripada Nabi SAW.
“Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Jika lalat masuk ke dalam minuman salah seorang daripada kalian maka tenggelamkan lalat itu kemudian buanglah, kerana sesungguhnya pada salah satu kepaknya mengandungi racun sedangkan yang satu lagi ada penawar.
Faedah daripada perintah untuk mencelup seluruh badan lalat di dalam makanan atau minuman yang dihinggap oleh lalat itu adalah agar bertemu antara penawar dan penyakitnya, sehingga seimbang bahaya dengan manfaat maka tertolaklah bahayanya.”
Manakala sunat hukumnya lalat yang mati dalam minuman, ditenggelamkan terlebih dahulu lalu dibuang lalat tersebut. Namun jika takut berlakunya mudarat seperti jangkitan bakteria atau penyakit berbahaya, maka makanan atau minuman tersebut bolehlah dibuang.
Firman Allah Taala:
وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ
Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan
Surah al-Baqarah, (2:195)