Tanggal 12 Rabiulawal merupakan tarikh kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Jika dulu waktu sekolah selalu ada perarakan dan kita akan berselawat beramai-ramai sebagai cara kita menyambut kelahiran baginda. Namun pernahkan kita terfikir apakah hukum di sebalik sambutan tersebut? Sebenarnya boleh sambut atau tidak? Teruskan membaca untuk mengetahui apa hukumnya.
Hujah Pertama: Bidaah
Ada sebahagian ulama yang bersependapat bahawa sambutan Maulidur Rasul adalah bidaah. Mereka berkata demikian kerana perayaan sebegini tidak pernah dilaksanakan untuk generasi para sahabat, generasi yang paling mulia serta generasi seterusnya. Mereka beranggapan bahawa sambutan sebegitu merupakan satu jenis pemujaan yang melampau terhadap Nabi Muhammad SAW. Hujah mereka ini disokong oleh sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Janganlah kalian berlebihan dalam memujiku seperti kaum Nasrani yang memuji anak lelaki Maryam. Aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah (mengenaiku) Hamba Allah dan Rasul-Nya.”
HR al Bukhari, No. 3445
Hujah Kedua: Dibolehkan
Para ulama yang berpegang pada hukum ini bersependapat bahawasanya sambutan Maulidur Rasul adalah sesuatu yang baik kerana kita meraikan kelahiran seorang insan yang istimewa. Para ulama yang bersependapat dengan hukum ini merujuk kepada hadis di mana Nabi Muhammad SAW ditanya mengenai puasa pada Hari Isnin. Lalu baginda menjawab:
“Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan al Quran ke atasku.”
HR Muslim, No. 1162
Daripada hadis ini mereka berkesimpulan bahawasanya Rasulullah SAW mensyukuri nikmat kelahiran baginda yang diberi oleh Allah SWT. Oleh sebab itu lah baginda berpuasa pada hari Isnin. Justeru itu, kita sebagai umat haruslah menzahirkan rasa kesyukuran atas kelahiran baginda juga dengan menyambut Maulidur Rasul. Namun begitu, sambutan yang ingin dilakukan haruslah tidak bercanggah dengan al Quran dan As-Sunnah. Seperti di dalam sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Barangsiapa yang melakukan (merintis) dalam Islam sesuatu perkara yang baik maka ia akan mendapatkan pahala daripada perbuatan baiknya tersebut, dan ia juga mendapatkan pahala dari orang yang mengikutinya selepasnya, tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun.”
HR Muslim, No. 1017
Daripada hadis ini pula dapat kita fahami bahawasanya melakukan perkara yang baik-baik itu dituntut dan mendapat pahala yang banyak dan berterusan. Maka, haruslah kita penuhi sambutan Maulidur Rasul dengan aktiviti-aktiviti serta amalan-amalan yang baik-baik sahaja.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, fatwa ulama sebulat suara menyatakan sambutan Maulidur Rasul hukumnya sunat atau harus atau bidaah hasanah. Bidaah hasanah bermaksud:
Bidaah: Sesuatu perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW
Hasanah: Sesuatu perkara yang baik
Sambutan Maulidur Rasul boleh dilakukan namun ianya perlu dihiasi dengan amalan-amalan yang baik seperti berselawat ke atas baginda, berzanji, tilawah al Quran, berzikir, bersedekah, menjamu makanan, membaca kisah-kisah baginda, mendengar tazkirah dan ceramah dan sebagainya. Wallahu’alam.