Pejam celik pejam celik, tidak sedar kini kita sudah berada di penghujung bulan Zulhijjah, iaitu bulan terakhir di dalam kalendar Islam. Bulan ini merupakan bulan yang istimewa kerana terdapat peristiwa yang menjadi dasar disyariatkan ibadah Qurban yang dilakukan pada Hari Raya Haji. Boleh rujuk posting blog yang bertajuk Hari Raya Haji (Bahagian 1/3): Ringkasan Sejarah untuk menyelami peristiwa disebalik ibadah ini.
Amalan
Mungkin ada yang masih tidak tahu bahawasanya banyak fadhilat ataupun kebaikan yang terdapat di dalam bulan Zulhijjah ini. Faham, ada di antara kita yang sudah memasang niat untuk melakukan ibadah haji pada tahun 2021 tetapi apakan daya, perancangan Allah itu mengatasi perancangan manusia. Walakin begitu, jangan lah kita bersedih dan berduka kerana Islam itu agama yang mudah dan sempurna. Terdapat banyak lagi amalan yang boleh dilakukan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT dalam bulan Zulhijjah ini.
- Berpuasa
Perayaan yang disambut dalam bulan Zulhijjah adalah Hari Raya Haji. Ini kerana pada bulan inilah ibadah Haji dapat dilakukan. Pada tarikh 9 Zulhijjah, orang Islam yang sedang melakukan ibadah Haji akan melaksanakan wukuf di Arafah. Bagi mereka yang tidak melaksanakan ibadah Haji boleh berpuasa sunat Hari Arafah. Memandangkan kita sedang berada dalam pandemik dan mempunyai kebatasan daripada melakukan ibadah Haji, berpuasa sunat pada tarikh ini sangat digalakkan. Bahkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW:
“Puasa Arafah (9 Zulhijjah) dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Puasa Asyuro (10 Muharram) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu.” – Hadis Riwayat Muslim.
Manakala bagi mereka yang uzur dan tidak dapat melakukan puasa sunat pada tarikh ini, jangan khuatir kerana dalam sabda Nabi Muhammad SAW:
“Siapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu walaupun sedikit.” – Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad. Maka, jamulah mereka yang sedang berpuasa itu.
- Solat Malam
Solat sunat diibaratkan sebagai sesuatu ibadah yang dapat menampal kekurangan ibadah-ibadah wajib seperti solat fardhu misalnya. Menurut Hadis Riwayat Muslim, “Dari Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “…Solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam.” Allah memuliakan serta mengangkat darjat orang yang melaksanakan solat malam.
Dan sesungguhnya Allah mencintai orang yang melakukan solat malam pada 10 malam pertama dalam bulan Zulhijjah. Ini dapat dilihat menerusi riwayat oleh Al-Tirmizi dan Ibnu Majah, yang meriwayatkan hadis daripada Al-Nahhas Bin Qahm, daripada Qatadah, daripada Ibnu Al-Musayyab, daripada Abu Hurairah, daripada Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda:
“Tiada hari-hari yang paling disukai oleh Allah untuk seseorang melakukan ibadah kepadaNya selain dari 10 hari dalam Zulhijjah. Puasa setiap harinya menyamai puasa setahun, dan qiamulail setiap malamnya menyamai qiamulail pada malam Al-Qadr.”
- Memperbanyakkan zikir
Sesungguhnya amalan berzikir dan memuij-muji Allah tidak perlu tunggu bulan Zulhijjah sahaja, perlu diamalkan setiap waktu kerana itu adalah sebaik-baik amalan. Buktinya dapat dilihat dalam sebuah hadis Muadz bin Anas al-Juhani RA dari Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Seseorang bertanya kepada Rasulullah SAW “Mujahidin mana yang paling besar pahalanya wahai Rasulullah?” Baginda menjawab “Yang paling banyak zikirnya.” Lalu baginda ditanya lagi “Orang yang berpuasa yang paling banyak pahalanya?” Baginda Rasulullah SAW menjawab “Yang paling banyak zikirnya.” Kemudian orang tersebut menyebutkan solat, zakat, haji serta sedekah kepada Rasulullah SAW dan baginda menjawab semuanya dengan sabda “Yang paling banyak zikirnya.” Maka Abu Bakar berkata kepada Umar RA, “Orang-orang yang selalu mengingati Allah SWT membawa semua kebaikan.” Maka Rasulullah SAW menjawab “Ya.”
Hadis di atas jelas menunjukkan sungguh besar ganjarannya jika kita sentiasa berzikir dan mengingati Allah SWT. Namun yang menariknya, berzikir dalam bulan Zulhijjah terutamanya pada 10 hari pertama terdapat dalam sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan tidak ada hari yang lebih dicintai oleh Allah supaya kita beramal di dalamnya melainkan pada 10 hari ini. Maka perbanyakkanlah bertahlil, bertakbir dan bertahmid.” – Hadis Riwayat Al-Tabrani. Maka, jangan lah kita mensia-siakan peluang ini untuk menambahkan lagi pahala kita.