Sesungguhnya, kita merupakan insan yang cukup bertuah dan beruntung kerana menjadi umat kepada nabi serta rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW. Banyak keistimewaan yang dikurniakan kepada umat baginda berbanding umat-umat zaman nabi sebelumnya.
Meskipun tidak berkesempatan bertemu secara empat mata dengan Rasulullah SAW, namun ia bukanlah alasan untuk kita tidak menyelami keperibadian dan sirah baginda.
Itu adalah antara bukti kecintaan kita kepada insan yang bergelar kekasih ALLAH SWT. Antara pendekatan paling mudah dan sering kali dilakukan oleh kebanyakan dalam kalangan kita adalah dengan berselawat ke atas nabi.
Disebabkan itulah ibadah berzikir dan berselawat sangat penting untuk kita amalkan. Allah berfirman dalam Al-Quran surah al-Ahzab, ayat 56:
“Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-NYA berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.“ (Surah al-Ahzab, ayat 56)
Di sini, kami akan ceritakan 3 kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.
1. Mendapat syafaat Nabi S.A.W. di akhirat kelak
Dalam satu hadis riwayat Tabrani yang bermaksud:
“Sesiapa yang berselawat ke atasku pada waktu pagi sebanyak 10 kali dan pada waktu petang sebanyak 10 kali, dia akan mendapat syafaatku pada hari kiamat.
“Syafaat Nabi S.A.W antara pertolongan paling besar ketika manusia sedang terkapai-kapai inginkan bantuan di padang mahsyar nanti.
Ketika insan lain tidak mampu membantu kita. Tidak kira, ibu, ayah, kakak, abang, sebaik dan serapat mana orang lain dengan kita di atas muka bumi, belum pasti dapat menolong kita di hari akhirat nanti.
2. Ganjaran besar menanti
Ketahuilah, ganjaran bagi mereka yang berselawat ke atas Rasulullah S.A.W. dalam satu hadis :
“Sesungguhnya barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka ALLAH SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.“ (Riwayat Muslim)
Bayangkan hanya sekali kita berselawat, Allah akan berselawat kepada kita sebanyak sepuluh kali. Dahsyat bukan?
Makna Allah S.W.T berselawat kepada kita adalah Allah S.W.T memberi rahmat kepada kita yang berselawat kepada Nabi S.A.W.
Mendapat kebahagiaan hidup
Dengan berselawat, Allah akan menganugerahkan seseorang itu kebahagiaan dan ketenangan hidup di dunia dan di akhirat.
Hati yang gelisah akan menjadi tenang dan tenteram. Hilanglah segala kekusutan dan kecelaruan hati apabila selawat sering diamalkan.
Kebahagiaan dan ketenangan adalah anugerah yang sangat agung kerana setiap manusia inginkannya. Dan untuk mendapatkannya adalah melalui jalan selawat.
Jom berselawat!
Ingin sertai contest selawat dari Haraki. Klik link di bawah ini: